WILAYAH - UTARA > BERITA

MAYAT DUA BERANAK DITEMUKAN DALAM RUMAH DIPERCAYAI DIBUNUH

19/10/2025 12:29 AM

BUKIT MERTAJAM, 18 Okt (Bernama) -- Mayat dua beranak, masing-masing seorang wanita dan anak perempuannya, dipercayai dibunuh, ditemukan di sebuah rumah di Juru, di sini, malam ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa mayat kedua-dua mangsa ditemukan oleh suami wanita berkenaan yang pulang ke rumah kira-kira pukul 7.30 malam tadi.

"Polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu, termasuk sama ada mangsa dirompak sebelum dibunuh atau sebaliknya. Pasukan forensik juga masih berada di lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut," katanya malam ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, mayat wanita berusia lingkungan 50-an itu ditemui di bahagian dapur di tingkat bawah rumah terbabit, manakala anak perempuannya yang berusia 11 tahun ditemukan di tingkat atas kediaman berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan