SIBU,19 Okt (Bernama) -- Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Sarawak melahirkan kelegaan atas keprihatinan kerajaan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM250 kepada semua kategori veteran tentera dalam Belanjawan 2026.
Timbalan Presiden PVTLDM Sarawak Hussain Abdul Rani berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada lebih 200 ahli persatuan itu dalam membantu menampung perbelanjaan harian, selain dapat digunakan untuk persiapan Aidilfitri bagi veteran yang beragama Islam.
“Bantuan ini adalah pengiktirafan kerajaan kepada pengorbanan bekas tentera termasuk veteran TLDM dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas bantuan ini.
“Kita menasihatkan penerima agar membelanjakan wang yang akan diterima nanti dengan penuh berhemat supaya matlamat kerajaan tercapai,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan PVTLDM Sarawak dengan Senator Robert Lau Hui Yew di sini hari ini.
Pertemuan itu bagi membincangkan kebajikan veteran TLDM di Sarawak serta hala tuju persatuan dengan Lau mengumumkan pemberian dana RM2,000 daripada peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) Kerajaan Persekutuan bagi membantu menampung keperluan kewangan untuk penganjuran aktiviti persatuan.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 10 Okt lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan BKK RM500 untuk penjawat awam gred 15 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak manakala RM250 diperuntukkan kepada pesara kerajaan, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen dengan tarikh bayaran ialah awal Mac 2026.
Sementara itu, Hussain berkata PVTLDM Sarawak menerima beberapa penghormatan tahun ini antaranya dijemput menghadiri Hari Peringatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2025 yang dianjurkan Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia (MACVA) di Tugu Negara, Kuala Lumpur 21 Sept lepas.
Beliau berkata pada 15 Nov pula, PVTLDM Sarawak dijemput oleh Persatuan Veteran Keselamatan Pulau Pinang menghadiri upacara tahunan memperingati perajurit yang terkorban di negeri itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial