WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AIGA 2025: MBPG, DUOPHARMA BIOTECH DINOBAT PENERIMA ANUGERAH PERDANA MENTERI

22/10/2025 09:05 PM

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Duopharma Biotech Bhd masing-masing dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri bagi kategori sektor awam dan sektor swasta sempena majlis Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau menyampaikan Amanat Perdana Integriti Nasional (MAPIN), yang menjadi pembuka tirai kepada Sambutan Bulan Integriti Nasional pada November setiap tahun.

Kedua-dua organisasi berkenaan diiktiraf atas komitmen mereka menjadikan pembudayaan integriti, tadbir urus dan antirasuah sebagai agenda utama dalam pengoperasian organisasi masing-masing.

Sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri, kedua-dua organisasi itu membawa pulang sijil, piala serta wang tunai RM50,000 setiap satu.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPG Datin Paduka Hazlina Jalil berkata pihaknya komited memastikan amalan tadbir urus dan integriti terus diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk di Pasir Gudang, Johor.

“Datuk Mustafa Kamal (bekas Datuk Bandar MBPG) telah meletakkan asas yang kukuh dalam aspek tadbir urus dan integriti di MBPG. 

“Amanah ini kini menjadi tanggungjawab saya untuk terus menambah baik dan memastikan tahap kecekapan serta ketelusan sentiasa ditingkatkan,” katanya selepas majlis AIGA 2025 di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu serta semua warga MBPG yang bersama-sama menjayakan usaha memperkukuh budaya integriti sehingga melayakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerima anugerah berkenaan.

Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan