KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Ahli Parlimen dari Sabah menyatakan sokongan terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan memperkukuh tatakelola baik dan kebertanggungjawaban dalam mempertahankan hak negeri itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Rata-rata wakil rakyat negeri itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) di Dewan Rakyat hari ini, berpendapat usaha Kerajaan MADANI memperkasa hak Sabah perlu diteruskan secara konsisten, khususnya dalam aspek pembahagian hasil, kuasa autonomi serta pelaksanaan projek pembangunan yang lebih seimbang antara wilayah.
Datuk Siti Aminah Aching (BN–Beaufort) berkata rakyat Sabah menghargai langkah kerajaan meningkatkan pemberian khas kepada RM600 juta serta peruntukan RM6.9 bilion dalam Belanjawan 2026, namun menegaskan ia perlu disusuli mekanisme pelaksanaan yang telus dan menepati semangat MA63.
Beliau turut menekankan keperluan kerajaan menunaikan komitmen mengembalikan hak 40 peratus hasil Sabah seperti yang termaktub dalam perjanjian berkenaan.
“Saya menyeru agar semangat MA63 diterjemahkan dalam pelaksanaan dasar kerajaan. Sabah dan Sarawak bukan wilayah bawahan, sebaliknya rakan pembentukan Malaysia. Janganlah kita menabur garam pada luka yang masih berdarah,” katanya.
Sementara itu, Datuk Lo Su Fui (GRS–Tawau) membangkitkan isu ‘tiga serangkai’ yang membelenggu Sabah, iaitu jalan raya, bekalan elektrik dan air.
Beliau berkata sejak 2019, tiada peruntukan tetap diberikan bagi penyelenggaraan lampu jalan Persekutuan di negeri itu, selain Sabah turut mengalami dua gangguan besar bekalan elektrik tahun ini.
Katanya, antara langkah yang boleh diambil ialah menetapkan tempoh maksimum kelulusan teknikal tidak melebihi tiga bulan bagi semua projek infrastruktur serta mewujudkan sistem maklum balas wajib dalam tempoh 14 hari bagi setiap aduan.
“Kerajaan juga wajar memperkenalkan mekanisme fast track approval bagi projek mendesak seperti air, jalan dan elektrik,” katanya.
Selain itu, Datuk Shahelmey Yahya (BN–Putatan) pula menyarankan supaya dasar pembangunan di Sabah dilaksanakan secara menyeluruh, khususnya dalam sektor kesihatan, tenaga dan infrastruktur asas agar manfaatnya dapat dirasai rakyat luar bandar.
Beliau berkata peruntukan RM6.9 bilion dalam Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI, namun pelaksanaannya perlu disertai pemantauan berkesan di peringkat negeri.
“Reformasi sektor kesihatan awam mesti memberi tumpuan kepada keberkesanan perkhidmatan, ketersediaan kakitangan barisan hadapan serta kemajuan infrastruktur,” katanya.
Shahelmey turut mencadangkan penyerapan doktor kontrak ke jawatan tetap disegerakan sejajar dengan usaha menaik taraf fasiliti kesihatan, termasuk cadangan pembinaan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II.
Dalam masa sama, katanya, program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) perlu diperkukuh bagi meningkatkan capaian tenaga di kawasan pedalaman.
Selain wakil Sabah, Ahli Parlimen dari Sarawak turut menegaskan keperluan memastikan pelaksanaan Belanjawan 2026 benar-benar mencerminkan semangat MA63 serta menjamin pembangunan seimbang antara wilayah.
Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS–Betong) menegaskan jurang pembangunan bukan sekadar melibatkan infrastruktur, tetapi turut membabitkan akses pendidikan berkualiti, peluang ekonomi dan perkhidmatan sosial yang setara antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Persekutuan Malaysia tidak dibina atas dasar penguasaan satu pihak terhadap yang lain, tetapi atas perkongsian setara antara Malaya, Sabah dan Sarawak.
“Peruntukan infrastruktur luar bandar seperti jalan, jambatan, bekalan air dan elektrik perlu diselaraskan dengan keluasan wilayah Sarawak, bukan semata-mata berdasarkan populasi.
“Belanjawan 2026 harus menjadi bukti bahawa komitmen terhadap MA63 diterjemahkan bukan hanya dalam kenyataan, tetapi melalui angka, dasar dan pelaksanaan sebenar,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial