WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS TAHAN LELAKI DISYAKI LARIKAN, CEDERAKAN WANITA DI PEKARANGAN MASJID DI ALOR GAJAH

23/10/2025 12:41 AM

MELAKA, 22 Okt (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kejadian melarikan dan mencederakan bekas teman wanitanya di pekarangan Masjid Ubaidah, Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah di sini semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Alor Gajah pada 7 malam hari sama, di hadapan sebuah rumah di Jalan Ayer Hitam Lendu, Kampung Ayer Hitam.

“Suspek yang juga seorang pesara mempunyai dua rekod jenayah dan lapan rekod berkaitan dadah, kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 kerana menculik dan Seksyen 326 Kanun kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Dzulkhairi berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 petang semalam, seorang wanita berusia 35 tahun dilaporkan dilarikan dan dicederakan bekas teman lelakinya yang datang bersama seorang rakan menaiki kereta jenis Proton Saga sambil mengacukan sebilah pisau lapah sepanjang 25 sentimeter (sm) di tepi jalan berdekatan masjid berkenaan.

“Suspek menarik dan mengacukan pisau ke leher mangsa sebelum mengheret masuk wanita itu ke dalam kereta melalui pintu penumpang belakang. Mangsa yang meronta kemudian dipukul, ditumbuk di kepala dan dipijak di dada selama dua hingga tiga minit,” katanya.

Beliau berkata selepas itu, suspek memindahkan mangsa ke dalam kereta lain iaitu Proton Wira miliknya dan memberitahu mahu membawa mangsa ke tempat yang tiada orang akan menemui mereka selain mengugut wanita itu dengan menghalakan sebilah pedang samurai ke arah dada mangsa sambil memandu.

“Ketika berhenti membeli air di sebuah kedai runcit di Taman Sutera Indah, Kelamak, mangsa mengambil kesempatan menghantar mesej WhatsApp serta lokasi langsung (live location) kepada bekas suaminya untuk meminta bantuan,” katanya.

Dzulkhairi berkata tidak lama kemudian, suspek berhenti di perkarangan sebuah rumah kampung di Alor Gajah sebelum dua lelaki dipercayai adik kandung mangsa tiba dan memecahkan cermin kereta suspek hingga berlaku pergelutan.

“Suspek mengeluarkan pedang samurai dan berlaku pergelutan dengan dua lelaki itu. Mangsa yang sempat keluar dari kereta dan membaling pasu bunga ke arah suspek hingga terkena muka menyebabkan suspek rebah,” katanya.

Dzulkhairi berkata beberapa minit kemudian, anggota polis dan pasukan ambulans tiba di lokasi dan membawa suspek serta mangsa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.

“Mangsa mengalami luka tikaman pada otot triseps kanan dan menerima empat jahitan. Siasatan di tempat kejadian turut dibantu oleh Cawangan Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek selepas mangsa enggan berbaik semula dengannya kerana mendapati lelaki itu telah mempunyai isteri dan anak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan