NILAI, 25 Okt (Bernama) -- Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) disaran bekerjasama dengan 91 negara yang mempunyai persatuan silat, untuk mempromosi seni bela diri itu supaya dapat dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik pada masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama itu penting, bagi memperkukuh kedudukan sukan silat pada peringkat antarabangsa sekali gus memastikan ia terus berkembang dan diiktiraf sebagai sukan global.
“Oleh kerana Presiden Persekutuan Silat Antarabangsa ialah Presiden Indonesia Prabowo Subianto, saya yakin beliau akan bersama-sama membawa perkara ini (silat ke temasya Olimpik).
“Kita mengharapkan lebih banyak negara yang akan mempunyai persatuan pesilat, maka mungkin Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) nanti, boleh mempertimbangkan untuk silat dibawa sebagai satu acara pertandingan di peringkat Olimpik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Silat Pesaka Malaysia 2025, yang turut dihadiri Presiden Pesaka Malaysia Datuk Megat Zulkarnain Omardin, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata bagi menjadikan silat sebagai acara di temasya Olimpik, ia perlu mendapat pengesahan daripada IOC, dan beliau berharap sekurang-kurangnya tiga perempat negara di dunia menceburi sukan silat itu.
Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini terdapat 414 persatuan atau perguruan silat berdaftar di seluruh negara, sekali gus menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap seni bela diri tersebut dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata pihaknya sebelum ini telah berunding dengan Majlis Olimpik Asia (OCA) berhubung perkara itu, selain sukan itu juga dipertontonkan sebagai acara demonstrasi ketika temasya Olimpik Paris yang lepas.
“Saya fikir memang Timbalan Perdana Menteri amat-amat serius ingin melihat agar silat dapat ditandingkan pada peringkat Olimpik,” katanya.
Megat Zulkarnain berkata respon yang diterima daripada pemimpin Olimpik dunia sangat positif, sekali gus membuka ruang untuk silat disenaraikan secara rasmi dalam temasya akan datang, sama ada pada Olimpik 2028 atau Olimpik 2032.
Beliau berkata seni bela diri itu kini mempunyai wakil di lima benua utama dunia dengan masing-masing mempunyai federasi di setiap rantau termasuk Asia Tenggara, Eropah, Afrika dan Amerika Tengah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial