KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan kemasukan bersejarah Timor-Leste ke dalam ASEAN sebagai satu detik penting yang mengukuhkan lagi perkongsian semangat serantau serta masa hadapan negara anggota blok berkenaan.
Berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, Anwar berkata penyertaan Timor-Leste memberi makna baharu kepada visi ASEAN yang inklusif dan bersatu padu.
“Kemasukan Timor-Leste melengkapkan keluarga ASEAN – mengukuhkan lagi masa hadapan bersama bersama dan hubungan kekeluargaan serantau. Dalam komuniti ini, pembangunan serta autonomi strategik Timor-Leste akan menerima sokongan padu dan berterusan,” kata beliau.
Semua negara anggota ASEAN menandatangani deklarasi berkenaan, iaitu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Kemboja Hun Manet; Presiden Indonesia Prabowo Subianto; Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone; Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr.; Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong; Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul; dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh; manakala Myanmar diwakili Setiausaha Tetap Kementerian Luar U Hau Khan Sum.
Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao menandatangani deklarasi yang memuktamadkan penyertaan rasmi negaranya ke dalam ASEAN.
Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, Naib Presiden Bank Dunia bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik (EAP) Carlos Felipe Jaramillo.
ASEAN yang ditubuhkan pada 1967 kini terdiri daripada 11 anggota, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.
Kemasukan Timor-Leste melengkapkan perwakilan Asia Tenggara, dengan Kemboja menjadi negara terakhir diterima masuk ke dalam blok itu pada 30 April 1999.
Timor-Leste memperoleh kemerdekaan pada 20 Mei 2002 dan pada 2011 negara ini secara rasmi memohon menyertai ASEAN.
Pada 2022 pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh bersetuju secara prinsip untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 serta memberikan status pemerhati bagi membolehkannya menyertai mesyuarat ASEAN, termasuk sidang kemuncak.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN 2023 di Indonesia, para pemimpin menerima pakai Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh Timor-Leste yang menumpukan kepada pengukuhan institusi, pembangunan modal insan dan sokongan pembinaan kapasiti.
Dengan populasi kira-kira 1.4 juta orang, Timor-Leste masih bergantung kepada eksport minyak dan gas, manakala sektor pertanian dan perkhidmatan terus menyumbang kepada hasil negara.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini meningkat sebanyak 3.4 peratus pada 2024 kepada USD1.99 bilion dan dijangka berkembang 3.9 peratus pada 2025 berikutan penurunan inflasi serta peningkatan kestabilan fiskal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial