
Terletak di selatan China, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang ialah satu daripada lima wilayah autonomi kaum minoriti di negara itu.
Didiami oleh 12 kumpulan etnik termasuk Zhuang, Han, Yao, Miao dan Dong, Guangxi memperlihatkan dewangga kehidupan yang sarat dengan pelbagai budaya, bahasa dan tradisi berabad usianya. Berlatarkan landskap karst, wilayah ini menawarkan kepada pengunjung sebuah destinasi pelancongan di mana keindahan semula jadi dan warisan budaya berpadu dengan harmoni.
Lebih daripada itu, kawasan ini yang bersempadan dengan Vietnam di barat daya, merupakan satu-satunya wilayah China yang berangkai dengan ASEAN menerusi darat dan laut - kelebihan geografi yang membentuk peranannya sebagai jambatan antara China dan Asia Tenggara.
pic-2
Mengambil peluang daripada kedekatan itu, Nanning, ibu kota Guangxi yang terletak hanya kira-kira 160 kilometer dari sempadan Vietnam, menjadi tuan rumah kepada acara tahunan Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dengan edisi ke-22 berlangsung dari 17 hingga 21 Sept lalu.
Selaku peserta program China International Press Communication Centre (CIPCC), penulis dan wakil dari beberapa negara lain dibawa melawat sambil bekerja ke Guangxi bulan lepas. Perjalanan kami merentasi tiga buah bandar di wilayah itu, memberikan kami satu pengalaman menakjubkan meskipun keindahan landskap dan kepelbagaian budayanya ditelusuri hanya sekilas.
NANNING: KOTA RAYA HIJAU CHINA
Meneroka bandar raya Nanning dengan menaiki bas, penulis berasa seolah-olah berada di ibu kota sebuah negara ASEAN yang mungkin disebabkan oleh kewujudan nuansa pengaruh Asia Tenggara dan iklim subtropikanya, memberikan suasana yang dikenali dan pada masa sama asing - cerminan peranan bandar raya ini sebagai jambatan budaya dan ekonomi antara China dan Asia Tenggara.
Nanning digelar China’s Green City, atau Kota Raya Hijau China, bukan disebabkan oleh teknologi hijau tetapi kerana kehijauan landskapnya. Namun, tumpuan utama pastinya pada Tasik Nanhu, khususnya ketika senja di mana simbahan warna jingga keemasan berkilauan di permukaan airnya yang tenang.
pic-3
Tidak terhenti setakat keindahan alam semula jadi, Nanning juga “bercerita” tentang sejarah dan warisannya menerusi jalan dan lorong purba yang terjaga rapi. Menurut China Tourism, kota raya itu berusia kira-kira 1,600 tahun dan nama Nanning yang diberikan ketika era Dinasti Yuan, bermaksud “selatan yang aman". Nama itu dipilih sebagai simbol harapan untuk sebuah wilayah yang pada suatu ketika dilanda perang demi perang, agar akhirnya beroleh keamanan.
Hari ini, Nanning pesat berkembang sebagai hab utama kerjasama China dan negara-negara ASEAN serta berperanan selaku penghubung penting dalam Inisiatif Jalur dan Laluan.
Sepanjang tiga hari di bandar raya ini, jadual kami padat dengan lawatan sambil bekerja. Selain menghadiri CAEXPO, kami dibawa mengunjungi Runjian Co. Ltd yang berperanan sebagai Pusat Kerjasama dan Inovasi Kecerdasan Buatan China-ASEAN; dan Beibu Gulf International Port Group Co. Ltd, iaitu Pusat Dagangan China-ASEAN yang menawarkan pelbagai barangan dari negara-negara Asia Tenggara seperti sarang burung dari Malaysia, kopi Vietnam, bak kut teh Singapura dan rempah ratus dari Thailand.
LIUZHOU: KOTA RAYA NAGA
Usai program di Nanning, kami menaiki tren berkelajuan tinggi ke Liuzhou yang lebih dikenali sebagai Dragon City atau Kota Raya Naga. Satu perjalanan yang lancar mengambil masa kira-kira satu jam merentasi landskap indah gabungan kemodenan infrastruktur dan alam semula jadi.
Sejurus tiba, kami dibawa ke restoran etnik Dong untuk menikmati hidangan malam. Namun, bukan hanya dijamu makanan enak, kami juga diperlihatkan kehalusan tradisi etnik Dong menerusi sekumpulan wanita muda suku kaum itu yang tampil berpakaian tradisional, menghidangkan makanan dengan senyuman mesra.
pic-4
Kemudian, kami dibawa duduk mengelilingi unggun api kecil - satu ritual yang menjadi simbol perpaduan dan persahabatan - untuk menikmati oil tea (teh minyak), satu hidangan tradisional kaum Dong dan Miao. Kami difahamkan oil tea dihidangkan oleh etnik Dong bagi meraikan tetamu mereka.
Biasanya oil tea diperbuat daripada daun teh yang digoreng dengan minyak bersama-sama dengan bahan seperti bawang putih, halia dan cili. Namun, dalam oil tea kami dicampurkan dengan nasi pulut goreng, kacang soya dan kacang tanah, memberikan rasa unik semula jadi dan menenangkan, sambil kami dihiburkan dengan muzik etnik Dong, menghidupkan suasana malam.
Keesokan harinya, selepas melawat beberapa industri tempatan kami menemukan ketenangan di Taman Longtan, sebuah taman hijau yang mendamaikan dengan tasik berair tenang bak cermin memantulkan pergunungan karst di sekelilingnya.
Di taman itu terdapat pameran seni bina kayu tradisional Dong - struktur menakjubkan yang dibina sepenuhnya berdasarkan ingatan, tanpa pelan atau penggunaan paku. Setiap rasuk dan sambungan dilekat menggunakan tanggam dan pasak semata-mata, menjadi bukti kecekapan pertukangan yang diwarisi turun-temurun.
GUILIN: “LUKISAN HIDUP”
Dari Liuzhou, kami sekali lagi menaiki kereta api laju, kali ini ke Guilin yang juga destinasi terakhir perjalanan kami. Selepas makan malam, kami menuju ke Menara Xiaoyao, tempat di mana malam terserlah dalam kerlipan cahaya lampu. Dari ketinggian menara itu, kami memandang ke arah sungai yang menjadi nadi Guilin - Sungai Li (Li Jiang dalam bahasa Cina, di mana jiang bermaksud sungai) - yang mengalir tenang di bawah cahaya kota, seakan sehelai reben perak yang berkilau.
Keesokan paginya, kami memulakan pelayaran sejauh 63 kilometer menyusuri Sungai Li - satu perjalanan yang sering digambarkan sebagai antara yang terindah di dunia. Sungai itu terbentang luas di depan kami bak reben sutera hijau, mengalir berliku di celah pergunungan karst yang menjulang megah ke langit.
pic-5
Selama empat jam yang menenangkan, kami bagaikan menembusi “lukisan hidup” China - tebing, air terjun dan batu-batan yang terbentuk indah seakan karya agung ciptaan alam. Berdiri di atas dek kapal sambil menghela bayu segar sungai, penulis diselubungi rasa tenang dan takjub.
Makan tengah hari dihidangkan di atas kapal, diiringi alunan lembut guzheng, alat muzik bertali tradisional China. Setibanya di daerah Yangshuo, kami meneroka West Street, kawasan pejalan kaki yang meriah berlatarbelakangkan puncak-puncak karst serta dipenuhi deretan gerai makanan jalanan dan kedai cenderamata - satu gabungan mempesona antara tradisi lama dan suasana moden.
Di Perkampungan Yulong yang namanya bermaksud “bertemu naga” (yu bermaksud bertemu dan long bermakna naga), kami melawat Jambatan Yulong berusia 600 tahun yang dibina pada zaman pemerintahan Yongle dalam Dinasti Ming.
Seperti Sungai Li, Sungai Yulong juga seakan reben hijau jed yang berliku, dengan rakit buluh terapung di permukaannya yang tenang. Pemandu pelancong tempatan menjelaskan dalam budaya Cina naga melambangkan kuasa dan unsur positif, manakala sungai melambangkan tuah - menunjukkan betapa air dihargai bukan sahaja sebagai sumber kehidupan tetapi juga pembawa kemakmuran.
Ketika itu saya semakin memahami mengapa sungai-sungai di China begitu terpelihara dan diintegrasikan dengan penuh pertimbangan ke dalam landskap bandar - mengalir jernih dan bertenaga, sungai-sungai ini menjadi nadi kepada komuniti dan sumber kehidupan yang kian penting kepada sektor pelancongan di Negara Tembok Besar tersebut.
Destinasi terakhir kami ialah Osmanthus Commune, kawasan yang didedikasikan kepada bunga harum yang memberi nama kepada Guilin - secara harfiah bermaksud “hutan osmanthus” (gui bererti osmanthus, lin bermaksud hutan). Melangkah masuk ke kawasan ini terasa seolah-olah berada di sebuah taman aromaterapi, dikelilingi kuntuman bunga kuning keemasan dan haruman osmanthus yang manis serta menyegarkan jiwa.
pic-6
Dalam sesi taklimat, kami diberitahu bunga osmanthus yang lazimnya berwarna keemasan, melambangkan kemakmuran dan kegembiraan dalam budaya Cina. Bunga itu juga dihargai kerana khasiat terapeutiknya, dipercayai dapat meningkatkan mood dan kesihatan. Di kawasan itu, pelbagai produk berasaskan osmanthus dipamerkan - daripada teh, sabun, minyak wangi, topeng muka, biskut hinggalah losen badan. Di kafe, kami menamatkan lawatan dengan semangkuk ais krim osmanthus yang enak - wangi, menyegarkan dan sukar dilupakan, penutup sempurna bagi pengalaman kami di Guilin.
KENANGAN ABADI
Perjalanan kami merentasi Guangxi berakhir ketika haruman manis bunga osmanthus masih berlegar di udara.
Dari kesibukan jalan raya di Nanning, kami menyelami keunikan budaya di Liuzhou dan akhirnya ke landskap indah bak mimpi di Guilin - setiap persinggahan memperlihatkan lapisan baharu pesona selatan China, tempat di mana alam semula jadi, tradisi dan kemodenan hidup disepadukan dalam keharmonian.
Guangxi bukan sekadar pintu masuk ASEAN; ia adalah galeri hidup yang mempamerkan warisan dan kemanusiaan di mana setiap gunung, sungai dan alunan muzik menceritakan kisah tentang ketabahan dan hubungan antara manusia.
Wilayah ini menyambut kedatangan pelawat dengan tangan terbuka dan membekalkan pengunjungnya kenangan seindah dan seharum bunga osmanthus untuk dibawa pulang dan terpahat dalam ingatan di sepanjang hayat.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial