WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERJASAMA ASEAN-KOREA MAMPU PACU PERTUMBUHAN INKLUSIF, PASARAN TERBUKA - PM ANWAR

27/10/2025 11:35 AM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ASEAN dan Korea mampu membentuk satu ekosistem yang memacu peluang baharu, memupuk pertumbuhan inklusif serta memperkukuh pasaran terbuka dengan menggabungkan potensi pertumbuhan ASEAN dan kekuatan republik itu. 

Dalam ucapan pembukaannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Korea ke-26, beliau berkata hubungan antara blok serantau ini dan republik itu yang terjalin selama lebih tiga dekad adalah dibina berasaskan kepercayaan dan rasa hormat bersama, serta membawa manfaat kepada kedua-dua pihak. 

Anwar berkata pada 2024, nilai perdagangan antara ASEAN dan Korea melebihi USD200 bilion, mencerminkan kekuatan serta daya tahan hubungan perdagangan kedua-dua pihak.

“Meskipun berdepan gangguan teknologi, persaingan strategik, rantaian bekalan yang terpecah-pecah, ASEAN dan Republik Korea menonjol sebagai negara yang menunjukkan bahawa kemajuan boleh dan perlu diperkukuh melalui kerjasama dan kolaborasi,” katanya.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung. Turut hadir pemimpin ASEAN lain. 

Lee juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (ASEAN+3) ke-28 bersama Jepun dan China bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama serantau yang lebih luas.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur selama tiga hari mulai semalam di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menghimpunkan lebih 3,000 delegasi serta pemimpin penting daripada lebih 30 negara dan organisasi bagi memperkukuh penglibatan serta kerjasama serantau.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan