WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JS-SEZ: JOHOR, SINGAPURA BUKTIKAN KEJAYAAN EKONOMI BUKAN PERSAINGAN - ONN HAFIZ

28/10/2025 11:28 AM

JOHOR BAHRU, 28 Okt (Bernama) -- Johor dan Singapura telah membuktikan bahawa kejayaan ekonomi bukan persaingan, sebaliknya perkongsian strategik yang memberi impak kepada seluruh wilayah, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi. 

Onn Hafiz berkata perkara itu dibuktikan menerusi kerangka kolaborasi yang sedang dipacu di bawah Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), menyaksikan Johor dan Singapura memiliki kelebihan kompetitif saling melengkapi.

“Penyelarasan dua kekuatan ini akan menghasilkan keupayaan ekonomi lebih strategik dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook. 

Terdahulu, Onn Hafiz mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Negara Republik Singapura Chee Hong Tat bersama delegasi beliau di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Saujana Johor Bahru.

Onn Hafiz berkata JS-SEZ dijangka mampu mempercepat kelulusan pelaburan, mengurangkan halangan perdagangan dan memperluas akses kepada pasaran global, seterusnya mewujudkan lebih banyak pekerjaan premium untuk Bangsa Johor dan rakyat Singapura.

Kerajaan negeri amat menghargai komitmen serta keterbukaan pihak Singapura untuk terus memperkukuh kerjasama rentas sempadan demi manfaat bersama, katanya.

"Semoga hubungan istimewa ini akan terus diperkasa demi sebuah masa depan yang lebih makmur, berdaya tahan dan sejahtera untuk Johor dan Singapura. Insya-Allah," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan