WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR ULANGI KOMITMEN TERHADAP PRINSIP KEPUSATAN DI SIDANG KEMUNCAK ASEAN-CHINA

28/10/2025 11:55 AM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- ASEAN menegaskan semula peranan utamanya dalam mengekalkan keseimbangan hubungan dengan kuasa-kuasa besar dunia apabila para pemimpin rantau ini berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN-China yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN, menekankan bahawa komitmen teguh blok serantau itu terhadap prinsip kepusatan terserlah melalui hubungan konstruktifnya dengan Amerika Syarikat (AS) dan China, di samping usaha berterusan memperkukuh kerjasama dengan pelbagai rakan kongsi antarabangsa lain.

“Sehari sebelum ini, kami bersama Presiden AS Donald Trump, dan hari ini kami kembali bersama China. Ini jelas mencerminkan prinsip kepusatan ASEAN, dan saya ingin memuji serta mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan saya dalam ASEAN atas kebijaksanaan mengekalkan prinsip ini serta terus memupuk hubungan mesra dengan semua negara.

“Inilah yang kita anggap sebagai bentuk penglibatan yang konsisten, yang memupuk kepercayaan serta membolehkan kita bersama-sama menangani pelbagai cabaran,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-China di sini hari ini. 

Mesyuarat itu turut dipengerusikan oleh Perdana Menteri China Li Qiang. 

Anwar turut mengalu-alukan kehadiran Li dan berkata penyertaan pemimpin China itu mencerminkan komitmen kukuh serta berterusan negara berkenaan dalam memperkukuh hubungan dengan ASEAN.

“Perdana Menteri Li, anda bersama kami pada awal tahun ini di Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China, dan hari ini kami sekali lagi berbesar hati menerima kehadiran anda. Ini menunjukkan komitmen teguh China untuk memperdalam kerjasama dengan ASEAN,” katanya.

Terdahulu, ASEAN dan China menandatangani Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 yang dinaik taraf, menandakan fasa baharu dalam hubungan perdagangan dua hala antara blok serantau itu dan ekonomi kedua terbesar dunia. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz serta Menteri Perdagangan China Wang Wenfao menandatangani Protokol Naik Taraf ACFTA 3.0.

Majlis menandatangani perjanjian itu turut disaksikan oleh Anwar dan Li. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan