WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AS BERI PERTIMBANGAN KHUSUS KEPADA RUNDINGAN TARIF SEMIKONDUKTOR - LIEW

30/10/2025 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Sektor semikonduktor negara akan diberikan pertimbangan khusus oleh Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan tarif di bawah Seksyen 232, Akta Perluasan Perdagangan 1962 AS, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong. 

Beliau berkata tarif berkaitan semikonduktor merupakan tarif sektoral yang tidak termasuk di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai Malaysia-AS baru-baru ini. 

"Dalam perjanjian ART tidak termasuk isu tarif sektoral...semikonduktor termasuk dalam seksyen 232 yang akan dipertimbangkan oleh Setiausaha Perdagangan AS.

“Apa yg telah dirundingkan adalah dengan Wakil Perdagangan AS (USTR)," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) berhubung impak perjanjian perdagangan itu terhadap sektor semikonduktor.

Dalam pada itu, menjawab soalan berasingan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berhubung isu halal susulan Perjanjian ART Malaysia,AS, Liew berkata proses kelulusan pengimportan produk halal dari AS adalah kekal seperti sedia ada di bawah perjanjian itu.  

Katanya ia perlu mematuhi keperluan standard halal Malaysia dan Akta Perihal Dagangan (Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal 2011) bagi tujuan perdagangan dalam Malaysia.

"Peraturan tersebut menetapkan hanya produk halal yang mendapat pengesahan halal dari badan pensijilan halal AS yang telah diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan memenuhi keperluan halal Malaysia sahaja akan diperakukan dan dibenarkan bagi tujuan eksport ke Malaysia," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan