ALOR GAJAH, 2 Nov (Bernama) -- Kampung Beringin di Durian Tunggal berpotensi dibangunkan sebagai kawasan agropelancongan yang mampu menjadi produk pelancongan baharu di Melaka, sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil berkata kawasan berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri untuk dimajukan kerana memiliki landskap menarik dengan sawah serta aliran Sungai Melaka yang boleh dijadikan tarikan pelancong untuk menikmati pemandangan dan menjamu selera dengan pelbagai juadah dijual penduduk setempat.
“Dengan pemandangan semula jadi yang indah selain keunikan kampung tradisional serta kedudukan kawasan Durian Tunggal yang berhampiran Tol Ayer Keroh, saya yakin kawasan ini mampu menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
“Apabila projek ini dilaksanakan kelak, kita juga bercadang menyediakan kawasan khas untuk peniaga tempatan agar mereka dapat turut serta menjana pendapatan melalui aktiviti pelancongan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Hari Aduan Rakyat sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sini hari ini.
Zahari berkata cadangan pembangunan agropelancongan di Kampung Beringin membabitkan peruntukan berjumlah RM500,000 itu telah dikemukakan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui kerajaan negeri.
Beliau berkata peruntukan berkenaan akan digunakan bagi menaik taraf kawasan itu termasuk penyediaan kemudahan asas bagi keselesaan pengunjung.
Dalam pada itu, beliau berkata program Hari Aduan Rakyat hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan hampir 100 aduan diterima daripada penduduk setempat.
“Program sempena WRUR ini bertujuan mendekatkan pemimpin dengan masyarakat bagi membolehkan penduduk menyalurkan aduan, permasalahan serta cadangan secara terus kepada wakil rakyat dan jabatan berkaitan.
“Antara aduan diterima merangkumi pelbagai isu termasuk tanah, jalan raya, banjir, longkang, lampu jalan serta kemudahan awam lain.
“Ada aduan yang telah diambil tindakan segera antaranya membabitkan masalah tanah mendap di Taman Angkasanuri. Kita juga mengadakan sesi ‘townhall’ bersama pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan melibatkan Exco kerajaan negeri serta jabatan dan agensi berkaitan,” katanya.
Pada program itu, sebanyak 60 pelajar anak Melaka dalam DUN Durian Tunggal yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi turut menerima bantuan wang tunai antara RM400 hingga RM600 seorang secara sekali beri mengikut peringkat pengajian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial