WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAYAT WANITA REPUT DI TELEMONG DISAHKAN WARGA INDONESIA

05/11/2025 12:14 PM

KUANTAN, 5 Nov (Bernama) -- Polis mengenal pasti mayat wanita yang ditemukan dalam keadaan reput di bawah longgokan pelepah kelapa sawit di kawasan ladang di Telemong, kelmarin, sebagai warga Indonesia berusia lingkungan 40 tahun.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata identiti wanita itu dikenal pasti, selepas suaminya tampil membuat pengecaman pagi ini.

“Mayat tersebut telah menjalani proses bedah siasat semalam dan hasil post-mortem mendapati ia telah reput lebih daripada dua minggu. Kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Jerantut dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kompleks Logistik PDRM Alor Akar, di sini, hari ini.

Yahaya berkata kes berkenaan masih diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut dijalankan di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. 

Semalam, media melaporkan mayat wanita dalam keadaan reput ditemukan di bawah longgokan pelepah kelapa sawit di sebuah kebun kelapa sawit di Batu 19, Jalan Karak-Kuala Pilah, Telemong, Bentong, kelmarin.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mohd Azahari Mukhtar dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Jerantut, manakala Pegawai Turus D5 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur Supt Maziah Hamzah dilantik sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) IPK Pahang.

Yahaya dalam ucapannya berkata kenaikan pangkat tersebut merupakan satu amanah besar yang menuntut kejujuran, kebijaksanaan dan keberanian dalam melaksanakan tugas.

Setiap pangkat baharu hadir bersama tanggungjawab yang lebih berat dan harapan yang lebih tinggi daripada masyarakat serta organisasi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan