WILAYAH - SELATAN > BERITA

HAMPIR SERATUS PERATUS PENIAGA DI PASAR BESAR SEREMBAN GUNA BEG PLASTIK BIODEGRADASI

08/11/2025 02:37 PM

SEREMBAN, 8 Nov (Bernama) -- Hampir seratus peratus peniaga di Pasar Besar Seremban beralih kepada penggunaan beg plastik biodegradasi yang lebih mesra alam dan boleh terurai secara semula jadi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan J. Arul Kumar berkata komitmen peniaga menjadikan pasar itu sebagai contoh terbaik pelaksanaan larangan penggunaan plastik sekali guna di Negeri Sembilan.

Beliau berkata usaha itu juga membuktikan kejayaan dasar kerajaan negeri terhadap larangan penggunaan plastik sekali guna di semua premis perniagaan sejak 2022.

"Beg plastik biasanya mengambil masa beratus tahun untuk terurai dan menghasilkan mikroplastik yang akhirnya membahayakan kesihatan manusia serta hidupan laut.

"Sebab itu kita mahu semua peniaga beralih kepada beg biodgradasi, penggunaan beg guna semula dalam kalangan pembeli juga tetap digalakkan,” katanya kepada pemberita pada Kempen Shared Reusable Bag di Pasar Besar Seremban di sini hari ini.

Arul Kumar berkata tiada caj dikenakan kepada pembeli bagi setiap beg plastik biodegradasi namun masyarakat tetap digalakkan menggunakan beg guna semula.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memasukkan larangan penggunaan plastik sekali guna sebagai syarat permohonan lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kalau ada peniaga masih enggan mematuhi syarat itu, lesen perniagaan mereka boleh dibatalkan. Langkah ini bagi memastikan kelestarian alam sekitar serta kesihatan manusia terjamin," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan