WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WAYTHA MOORTHY MOHON MAAF KEPADA PM ANWAR, AKUI KESILAPAN BUAT KENYATAAN TIDAK BENAR

08/11/2025 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan tindakannya mengeluarkan kenyataan tidak benar terhadap Anwar pada satu majlis bersama media, semalam.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya Waytha Moorthy mengakui kesilapannya yang mendakwa Anwar tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, kerana beliau pernah membuat keputusan terhadap Perdana Menteri dalam kes rayuan di Mahkamah Rayuan.

Ini kerana setelah menyemak semula rekod rasmi kehakiman pagi tadi beliau mendapati bahawa Tengku Maimun tidak pernah terlibat sebagai panel hakim dalam mana-mana kes rayuan Anwar.

“Saya dengan penuh tanggungjawab mengakui bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar dan ia berpunca daripada satu kesilapan jujur di pihak saya.

“Sehubungan itu, saya memohon maaf dengan setulus hati kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesilapan fakta tersebut, serta sebarang salah tanggapan atau imej negatif yang mungkin telah timbul terhadap beliau akibat kenyataan saya itu,” katanya.

Waytha Moorthy turut memohon maaf kepada Tengku Maimun dan mana-mana pihak yang mungkin terkesan dengan kenyataan tersebut, termasuk tetamu yang hadir dan mendengar ucapan beliau pada majlis semalam, sama ada secara langsung mahupun melalui rakaman atau siaran penstriman.

Justeru, beliau berharap sesiapa yang telah merakam atau menyiarkan kenyataan tersebut dapat memadam atau menarik balik bahagian berkenaan, bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan