WILAYAH - SABAH > BERITA

PM ANWAR LAKUKAN WALKABOUT, BERSARAPAN BERSAMA KOMUNITI DI GAYA STREET

09/11/2025 12:24 PM

KOTA KINABALU, 9 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini mengadakan sesi ramah mesra atau 'walkabout' serta bersarapan bersama komuniti setempat di Pasar Pagi Gaya Street, Jalan Gaya di sini.

Ketibaan beliau pada 8.35 pagi disambut oleh Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Seri Dr Sabin Samitah serta pengunjung di pasar itu yang lebih dikenali sebagai 'Tamu Gaya Street'.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah.

Anwar memulakan sesi lawatan dengan mendengar taklimat daripada pihak DBKK sebelum meluangkan kira-kira sejam beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung di pasar berkenaan, yang terkenal termasuk di kalangan pelancong asing.

Perdana Menteri kemudiannya menikmati nasi lemak di salah sebuah restoran berhampiran sebelum bergerak ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah untuk merasmikan Program Rancakkan MADANI Sabah.

Sementara itu, seorang pengunjung, Robert Lius, 56, berkata beliau amat teruja kerana berpeluang berjumpa dan bersalaman dengan Perdana Menteri.

“Hari ini saya datang bersama keluarga untuk membeli pelbagai barangan dan kebetulan pula Perdana Menteri hadir di sini. Saya sebenarnya tidak tahu, Perdana Menteri akan datang, rasa bertuah dapat berjumpa beliau,” katanya.

Tamu Gaya Street hanya diadakan setiap hari Ahad bermula pukul 7 pagi hingga 1 tengah hari, menawarkan pelbagai barangan termasuk bahan mentah, pakaian, barang antik, produk kraftangan tempatan, dan lain-lain.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan