IPOH, 9 Nov (Bernama) -- Polis menahan lapan lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kegiatan perlombongan bitcoin haram di sekitar Taman Lagenda dekat Teluk Intan, semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata penahanan itu hasil tindakan susulan operasi khas pada 5 Nov lepas bagi membanteras kegiatan tersebut.
Beliau berkata pihaknya turut merampas dua kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton serta 40 unit mesin perlombongan bitcoin yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri arus elektrik.
"Hasil soal siasat mendapati kesemua suspek berusia antara 17 hingga 44 tahun mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut.
"Lima daripada lapan suspek mempunyai rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan manakala tiga lagi tidak mempunyai sebarang rekod," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.
Sebelum ini Bakri dilaporkan berkata pihaknya berjaya menumpaskan kegiatan perlombongan bitcoin secara haram dalam serbuan di sebuah premis di Taman Lagenda menerusi operasi bersepadu dari 2 hingga 6.30 petang pada 5 Nov lepas.
Operasi itu katanya dijalankan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan CyberSecurity Malaysia (CSM).
Turut dirampas 66 unit mesin perlombongan bitcoin, beberapa modem serta peralatan sokongan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial