WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANTUAN KEPADA TAHANAN MALAYSIA DI LUAR NEGARA ATAS PERMINTAAN INDIVIDU - MOHAMAD

10/11/2025 01:03 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Semua bentuk bantuan kepada rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara bagi kesalahan jenayah hanya diberikan atas permintaan individu berkenaan dan bukan secara automatik oleh kerajaan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata hal ini termasuk bantuan konsular seperti memaklumkan keluarga tahanan, mengatur khidmat guaman dan memenuhi keperluan asas tahanan, yang hanya akan dilakukan apabila diminta secara rasmi oleh individu terbabit.

Mohamad berkata setiap tindakan juga tertakluk kepada peraturan negara itu serta prinsip Konvensyen Vienna 1963 mengenai Hubungan Konsular yang menetapkan tanggungjawab sesebuah negara dalam melindungi rakyatnya di luar negara.

“Bantuan diberi apabila pihak berkuasa negara itu memaklumkan kepada pejabat perwakilan kita bahawa rakyat Malaysia ditahan, kita akan pergi berjumpa dan bertanyakan keperluan mereka. 

“Bagaimanapun, ada juga kita (pejabat kedutaan) tidak tahu rakyat kita ditahan kerana ada negara yang menghormati hak asasi individu yang tidak mahu memaklumkan kepada kedutaan, sehinggalah mereka meminta untuk maklumkan kepada kita,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung bantuan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara dari segi sokongan kemanusiaan dan hak asasi bagi rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara, dan sama ada terdapat peruntukan kewangan khusus bagi menjamin hak individu yang ditahan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata kerajaan tidak menyediakan peruntukan khusus bagi melantik peguam untuk tahanan, sebaliknya tanggungjawab itu terletak kepada keluarga individu berkenaan, kecuali di negara yang menyediakan khidmat guaman percuma kepada warganegara asing.

Beliau berkata setakat 8 Nov lepas, sebanyak 837 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan penipuan dalam talian dengan China mencatat jumlah tertinggi penahanan warganegara, iaitu 545 orang diikuti Singapura (162), Jepun (34), Korea Selatan (22), India (20), Indonesia (11) dan Thailand (10) serta sebilangan kecil di beberapa negara lain.

Bagi pecahan mengikut kaum katanya, 765 orang ialah Cina, diikuti Melayu (34), India (33) dan lima daripada etnik lain.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan