WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKTA MARA AKAN DIPINDA, PASTIKAN TATAKELOLA BAIK DAN KEKAL RELEVAN - TPM AHMAD ZAHID

11/11/2025 12:04 PM

PUTRAJAYA, 11 Nov (Bernama) -- Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 akan dipinda bagi memastikan agensi itu terus relevan dan ditadbir dengan tatakelola yang baik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata pindaan tersebut penting kerana MARA, sebagai satu konglomerat dengan aset melebihi RM23 bilion, perlu diurus dengan cekap.

“MARA mesti diuruskan dengan terbaik dan kembali kepada core business terdahulu yang bertepatan dengan tujuan penubuhannya…kesilapan oleh kepimpinan terdahulu harus diperbetulkan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.

“Kita mesti membuktikan bahawa MARA berada di landasan yang betul dan, insya-Allah, dengan aset, pelaburan dan keuntungan sedia ada, MARA akan mampu berdiri sendiri untuk membiayai semua aktiviti yang ditetapkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera,” tambah beliau.

Ahmad Zahid berkata MARA diberi tempoh enam bulan untuk merangka rang undang-undang bagi pindaan tersebut.

Sementara itu, beliau berkata pindaan Akta Orang Asli 1954 kini berada di peringkat akhir dan telah mendapat persetujuan kerajaan negeri.

"Yang paling penting ialah persetujuan daripada kerajaan negeri kerana ia melibatkan soal tanah dan beberapa aspek berkaitan bidang kuasa kerajaan negeri.

“Di peringkat KKDW dan Jabatan Orang Asli, perkara ini telah diselesaikan, malah saya telah membawanya ke persidangan Menteri-Menteri Besar baru-baru ini,” katanya.

Akta Orang Asli 1954 sedang dipinda bagi mempertahankan dan mempertingkatkan hak masyarakat Orang Asli dengan meliputi tujuh aspek iaitu tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan