WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERTANIAN: MELAKA TAWAR PELUANG USAHAKAN TANAH TERBIAR MILIK KERAJAAN

11/11/2025 04:50 PM

MELAKA, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan Melaka menawarkan peluang kepada individu yang berminat untuk memanfaatkan tanah terbiar milik kerajaan dengan mengusahakan tanaman seperti nanas melalui permohonan di bawah skim Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata langkah itu bertujuan memperkasakan ekonomi rakyat serta meningkatkan hasil pertanian negeri, dengan kadar sewa rendah bagi tempoh tiga tahun.

“Orang ramai boleh maklumkan kepada Jabatan Pertanian atau Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan kerajaan negeri akan membantu memproses permohonan bagi mendapatkan tanah TOL .

"Ini supaya kawasan terbiar dapat dimanfaatkan dan memberi hasil kepada rakyat serta negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Melaka yang turut dihadiri Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M Salleh di Bukit Katil di sini hari ini.

Beliau berkata usaha itu sejajar dengan peningkatan pesat industri tanaman nanas di Melaka, yang merekodkan lonjakan 143 peratus dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, menjadikan negeri itu antara yang mencatat pertumbuhan tertinggi di negara ini.

-- LAGI

 

AKMAL-PERTANIAN 2 (AKHIR) MELAKA

 

“Lonjakan ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan industri nanas sebagai sektor berdaya maju.

“Selain itu, Melaka juga menjadi antara negeri pertama yang melaksanakan penanaman nanas menggunakan konsep ‘sekali tanam, tiga kali tuai’ di Pusat Koreksional Jasin, sebagai contoh terbaik kepada negeri lain dalam meningkatkan hasil dan nilai tambah pertanian,” katanya sambil menambah keluasan penanaman nanas terkini di Melaka adalah 125.7 hektar.

Sementara itu, beliau berkata LPNM menerima peruntukan sebanyak RM300,000 di bawah Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2025: Mengoptimumkan Penggunaan Tanah, dengan kerjasama kerajaan Melaka.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan