WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN PERUNTUK RM1.97 BILION LAKSANA PELARASAN PENCEN SSPA FASA 2

11/11/2025 06:18 PM

LUMUT, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.97 bilion bagi pelaksanaan pelarasan pencen Fasa 2 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2026.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata langkah itu bukan sahaja membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menghargai khidmat bakti pesara malah memberi kelegaan kewangan kepada hampir sejuta penerima pencen dan pencen terbitan di seluruh negara.

Beliau berkata usaha itu sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan pesara terus terpelihara, seiring dengan prinsip kesejahteraan yang menjadi tunjang kepada nilai Malaysia MADANI.

"Golongan pesara tidak ditinggalkan apabila berlakunya pelarasan gaji kepada penjawat awam, pesara juga akan menikmati  jumlah yang sama berdasarkan jumlah pencen terakhir mereka.

"Jadi, jelas menunjukkan kerajaan pimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat prihatin dengan penjawat awam (termasuk pesara) terutamanya dalam meraikan segala bentuk sumbangan sepanjang perkhidmatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Ziarah Pesara Uzur di Taman Desa Bayu, Seri Manjung dekat sini hari ini.

Pada Ogos 2024, Perdana Menteri pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19 berkata pesara dan penerima pencen terbitan akan menerima pelarasan pencen sama dengan kenaikan peratusan yang dinikmati penjawat awam sedang berkhidmat, melalui dua fasa.

Anwar mengumumkan pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim SSPA akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada Dis 2024, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Jan 2026.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bagi memastikan kesejahteraan pesara diuruskan secara holistik dan berterusan.

"Melalui sinergi ini, perkhidmatan seperti Kaunter MyPesara yang diperkenalkan sejak 2019 oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri terus menjadi platform penting dalam membantu pesara mengurus urusan berkaitan pencen, kad pesara, kemas kini maklumat, serta khidmat nasihat berkaitan hal ehwal persaraan. 

"Inisiatif ini melengkapi pelbagai program yang dilaksanakan secara bersama oleh KWAP termasuk Jelajah MyPesara, yang memberi tumpuan kepada aspek kesihatan, pengurusan kewangan dan pembangunan kemahiran bagi memperkukuh kemandirian pesara semasa persaraan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan