WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR LAWAT PAMERAN GALERI PROGRAM ANAK KITA DI PARLIMEN

11/11/2025 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melawat Pameran Galeri Program Anak Kita (PAK) di Bangunan Parlimen, sejurus selepas sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) Dewan Rakyat.

Lawatan Perdana Menteri itu bagi mengiktiraf usaha berterusan kerajaan dalam menangani isu keciciran murid serta memperkukuh sistem pendidikan negara melalui pendekatan berasaskan data, empati dan kerjasama antara pelbagai pihak.

Pameran galeri itu, yang diadakan selama dua hari mulai hari ini (11-12 Nov) dari 10 pagi hingga 4 petang itu, menjadi kemuncak fasa pertama pelaksanaan PAK. Ia bertujuan memaklumkan kemajuan dan impak program kepada pengunjung Parlimen, khususnya barisan kepimpinan negara dan Ahli Parlimen.

Selain memaparkan laporan pelaksanaan, data capaian serta kisah kejayaan murid dari seluruh negara, pameran itu juga menyediakan ruang maklum balas bersama pengunjung, membuktikan bahawa pendekatan “Seluruh Negara” bukan sekadar konsep, tetapi pelaksanaan menyeluruh yang telah membawa perubahan ketara kepada puluhan ribu murid dan sekolah di seluruh negara.

Ketua Pengarah Unit Pantau MADANI, Pejabat Perdana Menteri Mohd Khalid Mohamed Latiff berkata pameran tersebut bukan sekadar paparan hasil kerja, tetapi platform dasar untuk membina momentum ke arah Program Anak Kita 2026, fasa kesinambungan yang akan menumpukan kepada inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran, pengukuhan sokongan komuniti sekolah serta pemantapan intervensi berasaskan data.

Beliau berkata PAK memberi tumpuan kepada tiga komponen utama iaitu meningkatkan penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid sekolah rendah; membantu murid berisiko gagal peperiksaan SPM untuk lulus dan layak memperoleh sijil; serta menyokong murid cicir dan murid berisiko cicir untuk kembali ke sistem pendidikan formal dan kekal bersekolah.

“Kita nak atasi masalah keciciran murid supaya dapat membawa balik pelajar-pelajar ini ke sekolah, kerana pendidikan mesti boleh dicapai oleh semua anak bangsa kita…setiap kanak-kanak mesti ada akses kepada pendidikan. Jadi kita nak memberi satu harapan baharu kepada pelajar-pelajar ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Khalid berkata kehadiran Perdana Menteri ke pameran tersebut mencerminkan komitmen tinggi kerajaan terhadap pelaksanaan PAK - antara agenda utama pascapandemik COVID-19, bagi memastikan setiap anak di Malaysia mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

“Lawatan Perdana Menteri ke galeri itu memberi satu nafas dan semangat baharu kepada semua yang terlibat dalam pelaksanaan PAK. Perdana Menteri juga telah memperuntukkan RM100 juta dalam Belanjawan 2024, untuk memastikan kita mempunyai pendekatan menyeluruh atau Whole-of-Nation Approach dalam menangani isu keciciran murid,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Siti Kamariah Ahmad Subki berkata kerjasama dengan rakan pelaksana daripada sektor masyarakat sivil amat penting dalam memastikan keberkesanan program berkenaan.

“Jadi, kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan rakan pelaksana daripada sektor masyarakat sivil di Malaysia. Mereka inilah yang paling dekat dengan masyarakat di peringkat akar umbi dan mampu melaksanakan program ini dalam tempoh yang singkat dengan impak yang nyata,” katanya.

Beliau berkata kesan positif pelaksanaan Program Anak Kita dapat dilihat, apabila 90 peratus pelajar berisiko gagal peperiksaan percubaan SPM tahun lepas berjaya memperoleh sijil SPM selepas mengikuti intervensi khas di bawah program berkenaan. 

Turut hadir ke sesi pameran itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, serta beberapa Ahli Parlimen yang diberi taklimat mengenai pelaksanaan dan pencapaian PAK. Mereka turut berpeluang menyantuni murid-murid pemulihan dari Sekolah Kebangsaan Ampang Campuran, yang juga peserta program PAK 3M. 

Dilancarkan pada 27 Sept 2024, Program Anak Kita (PAK) merupakan inisiatif bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan (MOF), diterajui oleh Unit Pantau MADANI dengan kerjasama Yayasan Hasanah, agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), dan sektor swasta. 

Program itu menyasarkan lebih 83,000 murid di lebih 2,500 sekolah di seluruh negara, melalui pelbagai intervensi bagi menangani isu keciciran pembelajaran. Melalui pelaksanaan berasaskan data dan empati, PAK telah membuktikan bahawa kolaborasi antara pelbagai sektor dapat memacu perubahan berkekalan dalam sistem pendidikan.

Pameran tersebut turut menjadi ruang dialog antara pembuat dasar dan pelaksana di lapangan, bagi memastikan kejayaan program terus berkembang dalam kerangka Ekonomi MADANI, yang menekankan elemen keterangkuman dan keadilan sosial.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan