ALOR SETAR, 11 Nov (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand di Langkawi menemukan empat lagi mayat petang ini.
Penemuan itu sekali gus menjadikan 20 mangsa ditemukan maut setakat ini manakala 14 lagi ditemukan selamat termasuk seorang hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat satu wanita berhampiran Pulau Intan Kecil, kira-kira 1 tengah hari.
“Pasukan Angkatan Pertahanan Awam telah mengatur gerak bot ke lokasi untuk membawa mayat berkenaan ke jeti bagi proses serahan kepada polis. Pada 1.41 tengah hari pula, Jabatan Laut Malaysia memaklumkan mengenai penemuan satu mayat lelaki terdampar di barat Tanjung Belua.
“Beberapa minit kemudian, KM Siangin turut mengesan satu lagi mayat lelaki di lokasi kira-kira 1.6 batu nautika dari Tanjung Belua dan penemuan terakhir pada pukul 4.13 petang, iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menemukan satu mayat lelaki kira-kira satu batu nautika dari Tanjung Belua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata setakat 5.30 petang tadi, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketiga merekodkan 14 mangsa diselamatkan iaitu 12 lelaki dan dua wanita manakala 20 mangsa yang maut terdiri daripada tujuh lelaki, sembilan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
“Operasi pencarian masih diteruskan dengan bantuan aset pelbagai agensi dan kawasan pencarian ditumpukan di zon unjuran arus dan cuaca semasa yang dikenal pasti berpotensi membawa mangsa ke daratan,” katanya.
Orang ramai yang menjumpai mangsa diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis menerusi talian 04-9662750 atau talian kecemasan 999.
Operasi hari ini ditamatkan pada 7.30 malam dan akan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial