KUANTAN, 11 Nov (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas penganugerahan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star oleh Maharaja Jepun, Naruhito hari ini.
Turut menzahirkan ucapan sama ialah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pengiktirafan terhadap Premier Sarawak itu.
“Pengiktirafan tertinggi negara matahari terbit itu mencerminkan penghargaan terhadap kepimpinan cemerlang Premier Sarawak dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun, khususnya dalam bidang ekonomi, pelaburan, tenaga hijau serta pembangunan mampan,” menurut hantaran itu.
Penyampaian anugerah yang berlangsung di Tokyo, Jepun itu turut dianggap sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap komitmen berterusan Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari dalam memperjuangkan kemajuan rakyat, pembangunan negeri serta kelestarian alam sekitar.
“Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar Premier Sarawak terus diberi kekuatan, kesihatan dan kebijaksanaan untuk meneruskan kepimpinan berwawasan sekali gus membawa Sarawak mencapai lebih banyak kejayaan dan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan,” menurut hantaran itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial