KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Membudayakan daya cipta dan mengubah kecenderungan masyarakat daripada sekadar pengguna pasif kepada penyumbang aktif dalam mencorak revolusi digital serta teknologi adalah antara matlamat utama negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata negara yang berdaya cipta dan berinovasi akan mampu menyediakan persekitaran serta infrastruktur yang merangsang kreativiti, sekali gus menggalakkan penghasilan sistem, produk, idea dan proses yang lebih maju.
“Justeru, program yang memupuk Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta budaya daya cipta seperti Minggu Sains Negara (MSN) perlu diterapkan seawal sistem pendidikan rendah bagi menyuburkan kreativiti dan pemikiran kritis.
“Budaya ini mesti berakar pada kepelbagaian budaya serta melibatkan golongan muda ke dalam hab teknologi dan makmal prototaip seperti robotik dan pencetak 3D,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Apresiasi MSN 2025 di Pusat Sains Negara, malam ini.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Fadillah berkata agenda pembudayaan STI amat penting memandangkan agensi penyelidikan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini meneroka pelbagai teknologi baharu untuk generasi masa depan, termasuk penjanaan elektrik daripada hidrogen melalui teknologi solid-state dalam Reaktor Hiper Hidrogen.
“Kita juga melihat teknologi nuklear yang memberi manfaat, selamat dan lestari telah pun digunakan dalam sektor perubatan, pertanian dan pengawetan makanan, termasuk penghasilan padi nuklear yang berdaya tahan.
“Oleh itu, kita tidak boleh menjadi bangsa yang hanya mewarisi, tetapi mesti menjadi bangsa yang membudayakan STI, berani mencipta dan memperbaharui,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan MADANI memandang serius terhadap pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selaras dengan keperluan melahirkan lebih ramai tenaga profesional tempatan bagi mencapai sasaran negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Menurut beliau, berdasarkan sambutan dan pencapaian MSN pada tahun ini, kerajaan mengiktiraf peranan program itu sebagai pelengkap kepada kurikulum sekolah sedia ada yang menyediakan pembelajaran STI secara luar bilik darjah melalui pendekatan hands-on dan interaktif.
“Saya menyeru usaha berterusan daripada MOSTI, Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta rakan strategik sektor swasta untuk terus memperkasakan Agenda STEM Negara kepada golongan sasaran, khususnya kanak-kanak dan pelajar sekolah. Kita mesti melahirkan generasi yang membudayakan STI serta tenaga mahir berteknologi tinggi yang akan menyumbang kepada pembangunan fizikal dan ekonomi negara,” katanya.
Fadillah berharap program seperti MSN dapat memberi impak besar dalam menyemarakkan semangat pelajar di seluruh negara, khususnya generasi muda, untuk menyertai aliran sains dan teknologi.
“Jadikan sains itu sesuatu yang menyeronokkan, bermanfaat dan sebagai kunci ajaib untuk membuka pintu peluang masa depan,” katanya.
Siri Jelajah Minggu MSN 2025 diadakan di seluruh tanah air, dari Borneo hingga ke Semenanjung Malaysia dengan majoriti aktiviti dijalankan secara fizikal selaras dengan tema “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi, Mengarusperdanakan Inovasi”.
Program itu merangkumi tiga pendekatan utama - Karnival, Kembara dan Tajaan - melibatkan enam lokasi utama di 40 kawasan Parlimen, 47 sekolah serta 452 pendidik dan bakal guru, selain pertandingan inovasi, pameran teknologi dan bengkel STEM.
MSN 2025 turut melibatkan 136 kerjasama strategik antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan industri bagi memastikan STI terus dibudayakan.
Pelaksanaan 23 Kit STEM dan 17 program tajaan meningkatkan literasi STI serta minat pelajar terhadap STEM melebihi 80 peratus, selain memperkukuh peranan pusat sains, sekolah dan komuniti sebagai pemangkin minda saintifik dan kemakmuran ekonomi negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial