WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEBANYAK 1,289 PROJEK RUMAH TERBENGKALAI DIPULIHKAN SEJAK 2023 – KPKT

14/11/2025 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov  (Bernama) -- Sebanyak 1,289 projek perumahan swasta yang terbengkalai telah berjaya dipulihkan oleh pasukan petugas khas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 2023 hingga September 2025.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk M Nor Azman Taib berkata usaha tersebut melibatkan 154,659 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM123.7 bilion.

"Bagi tahun ini sahaja, 362 projek sakit dan tertangguh berjaya dipulihkan. Ini adalah bukti bahawa apabila kerajaan dan industri berganding bahu, tiada projek yang mustahil untuk diselamatkan.

“Dalam hal ini, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM25.84 juta khas dalam Belanjawan 2026 untuk pemulihan projek terbengkalai. Ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam usaha untuk menyelesaikan kesengsaraan pembeli-pembeli rumah yang terkesan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam tahunan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di sini hari ini.

Selain itu, Nor Azman berkata sehingga 30 Sept 2025, secara keseluruhannya sejumlah 501,033 unit rumah mampu milik (RMM) disediakan di seluruh negara meliputi rumah yang telah siap dan yang sedang berada dalam pelbagai fasa pelaksanaan.

Pencapaian ini merupakan sesuatu yang belum pernah direkodkan dalam sejarah negara.

"KPKT sedang dalam tindakan untuk meminda Akta 118 agar selaras dengan perkembangan dan keperluan sektor perumahan masa kini.

"Pindaan akta ini akan lebih mengutamakan kebajikan pembeli rumah di samping memperkukuh tadbir urus pemaju, meningkatkan ketelusan transaksi dan memastikan setiap projek perumahan dilaksanakan dengan lebih bertanggungjawab serta berorientasikan perlindungan pengguna," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai sektor, beliau berkata secara keseluruhannya pasaran hartanah negara kekal berdaya tahan pada separuh pertama 2025 apabila aktiviti pembinaan terus mencatat pertumbuhan meskipun prestasi transaksi menunjukkan sedikit penyusutan.

Berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), bagi separuh tahun pertama 2025, bilangan urus niaga hartanah merekodkan sebanyak 196,232 transaksi, susut 1.3 peratus.

Nilai transaksi, bagaimanapun, meningkat 1.9 peratus kepada RM107.68 bilion berbanding tempoh yang sama 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan