WILAYAH - SABAH > BERITA

PRN SABAH: HARI PENAMAAN CALON MERIAH, SEAKAN 'FESTIVAL KEBUDAYAAN'

15/11/2025 10:56 AM

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hari ini berlangsung dalam suasana meriah, seakan-akan sebuah 'festival kebudayaan' apabila beberapa calon serta penyokong tampil mengayakan pelbagai busana tradisional masyarakat Sabah.

Suasana itu menyerikan persekitaran 25 pusat penamaan calon (PPC) yang dibuka selama sejam mulai 9 pagi.

Antara yang mencuri tumpuan ialah calon Parti Warisan (Warisan) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid, Lucia Kihing, 49, yang hadir di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan, Pensiangan dengan memakai  pakaian tradisional etnik Dusun Lobu. 

Turut menarik perhatian ialah calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bagi DUN Tungku, Suling Isib, 43, yang tampil berpakaian tradisional etnik Dusun Begak ketika tiba di PPC di Dewan Perdana, Lahad Datu.

Di Tawau, beberapa penyokong Pakatan Harapan (PH) di pusat penamaan calon SRJK (C) Yuk Cin turut memeriahkan suasana dengan mengenakan busana pelbagai etnik Sabah, menonjolkan lagi kepelbagaian budaya negeri itu.

Situasi di Papar turut mencuri tumpuan apabila beberapa penyokong dan pencadang yang hadir mengiringi calon di Dewan Kesenian Islam Membakut, mengenakan pakaian tradisional etnik Kadazan-Dusun.

Antaranya ialah penyokong calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Bongawan dan Membakut, iaitu Joseph Mojumi serta Hableen @ Marciana Lawrence.

Sementara itu, penyokong Barisan Nasional (BN) di pekarangan PPC Dewan Seri Sulaman, Tuaran, pula mencuri perhatian apabila berarak membawa dua tarian singa dengan kostum berwarna biru.

Dewan Seri Sulaman ialah PPC bagi DUN Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu. 

Dengan berakhirnya proses penamaan calon pada 10 pagi ini, maka kempen PRN Sabah bermula selama 14 hari seperti ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), iaitu hingga 11.59 malam pada 28 Nov.

Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN ke-17.

SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Sabah pada 25 Nov dan hari pengundian pada 29 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari   https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan