SEREMBAN, 15 Nov (Bernama) -- Beberapa penduduk di Taman Nusari Bayu, Sendayan berdepan detik cemas apabila ribut kencang yang melanda petang semalam mengakibatkan kerosakan teruk pada kediaman mereka.
Muhammad Sallehin Mohd Din, 44, menetap di Taman Nusari Bayu 2 sejak 2011 berkata kejadian itu yang kedua dialaminya selepas kejadian pertama yang berlaku sekitar 2014 hingga 2016.
Penjawat awam berkenaan berkata akibat kejadian itu dia mengalami kerugian hampir RM10,000 termasuk kerosakan pada siling rumah.
“Ketika kejadian kira-kira 3 petang, anak perempuan saya berada di rumah. Dia kemudian menelefon saya maklumkan bumbung bahagian hadapan rumah tercabut, sebelum segera berlindung di rumah jiran," katanya.
Muhammad Sallehin berkata beberapa barang elektrik seperti kipas turut rosak akibat terkena air serta beberapa keping atap genting didapati bocor.
Seorang pesara, Rusli Ahmad, 69, yang menetap di Taman Nusari Aman 1A pula berkata ribut itu berlaku terlalu cepat sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian bumbung rumahnya.
Beliau berkata meskipun kejadian itu adalah kali kedua dialaminya, kerosakan kali ini lebih teruk sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM10,000.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Mohamad Najib Mustafa berkata kejadian ribut itu menjejaskan 11 rumah di Taman Nusari Bayu 1, Taman Nusari Bayu 2 dan Taman Nusari Aman 1A.
Susulan itu, beliau berkata kebanyakan bumbung rumah bahagian ruang tamu, bilik dan dapur tercabut serta pecah, manakala beberapa bahagian siling mengalami kerosakan.
Mohamad Najib berkata kerajaan negeri akan bantu membaiki kerosakan asas rumah yang terjejas dengan melibatkan kos lebih RM30,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial