GEORGE TOWN, 15 Nov (Bernama) -- Pembukaan Galeri Seni Lin Xiang Xiong di The Light Waterfront, Gelugor di sini secara rasmi pada 14 Dis, akan memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab kreatif dan destinasi warisan bertaraf dunia.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata penubuhan galeri itu bukan sekadar penambahan infrastruktur budaya, sebaliknya manifestasi aspirasi Visi Penang2030 yang menekankan pembangunan manusia seimbang, kemajuan ekonomi berteraskan kreativiti dan kesejahteraan komuniti melalui ilmu serta seni.
Beliau menyifatkan galeri itu sebagai bukti nyata Pulau Pinang mampu menjadi jambatan budaya antarabangsa yang menghubungkan warisan tempatan dengan dunia luar serta membuka peluang kepada pertukaran ilmu dan kerjasama global.
“Ruang ini berfungsi sebagai platform penting menghimpunkan seniman, pelajar, pelawat dan masyarakat untuk berkongsi idea, pengetahuan serta pengalaman sejajar dengan teras Malaysia MADANI,” katanya pada majlis pelancaran galeri itu di sini hari ini.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib merasmikan majlis yang turut dihadiri pengasas galeri seni itu Profesor Lin Xiang Xiong.
Pada majlis itu, tetamu berpeluang melihat koleksi The Vicissitudes of Life yang menampilkan 99 karya seni Lin mengenai isu global yang mendesak seperti peperangan, pencemaran dan kemiskinan yang menonjolkan dedikasi beliau mempromosikan keamanan melalui seni.
Sementara itu, Lin, 80, berkata galeri lapan tingkat seluas 86,929 kaki persegi itu menunjukkan Malaysia semakin menyerlah dalam peta budaya dunia, selain diharapkan menjadi platform kekal untuk pertukaran budaya dan sesi dialog antarabangsa serta merapatkan kerjasama artistik antara Barat dan Timur.
Berlatarbelakangkan pesisir pantai Pulau Pinang, beliau berkata galeri itu merupakan pertemuan diplomasi, warisan serta transformasi kreativiti, sekali gus mencerminkan aspirasi negara untuk menonjolkan keamanan dan budaya melalui seni.
“Projek ini bukan sahaja usaha seni, tetapi juga mencerminkan nilai Malaysia dalam dunia yang semakin berpecah kerana semasa perbezaan semakin menguasai, negara ini memilih untuk bertindak balas dengan kreativiti dan belas kasihan,” katanya.
Galeri Seni Lin Xiang Xiong yang dianggarkan bernilai RM100 juta itu dibina dengan konsep yang mencerminkan falsafah hidup Lin iaitu berteraskan kepercayaan “seni untuk keamanan”.
Reka bentuk bangunan juga tersendiri apabila kelihatan seperti penyu muncul dari pesisir pantai, selain menampilkan panel kaca moden serta ruang dalaman yang luas serta dipenuhi cahaya semula jadi menghadap laut, sekali gus memberikan sentuhan futuristik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial