WILAYAH - SABAH > BERITA

KERAJAAN USAHA TUNAIKAN HAK 40 PERATUS HASIL SABAH - ANWAR

15/11/2025 05:20 PM

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan Pusat tidak akan berundur dalam usaha menunaikan hak Sabah berkaitan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata proses rundingan teknikal akan diteruskan secara teratur bermula Isnin ini melibatkan pegawai antara kerajaan Persekutuan dan negeri yang antara lain diwakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican serta wakil kerajaan Sabah. 

“Saya nak tegaskan di sini, selaku Perdana Menteri mewakili Jemaah Menteri dan kerajaan Persekutuan, soal 40 peratus itu hak Sabah dalam Perlembagaan, kita tak rayu...yang dirayu ialah aspek penghakiman yang tertentu jadi kita teruskan rundingan dengan tertib,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Temu Anwar “Harapan Urang Muda Sabah” di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC), Penampang hari ini. 

Anwar turut menegaskan bahawa usaha menyelesaikan isu 40 peratus hasil bersih Sabah itu tidak wajar dijadikan alasan untuk menafikan atau merendah-rendahkan sumbangan pemimpin yang pernah menerajui kerajaan Persekutuan dan negeri sebelum ini.

Anwar berkata walaupun keputusan mahkamah baru-baru ini menyatakan bahawa kerajaan sejak 1974 telah bertentangan dengan Perlembagaan dalam hal pelaksanaan hak tersebut, penemuan itu tidak harus dijadikan modal politik untuk menyalahkan individu atau generasi kepimpinan terdahulu.

Beliau berkata perkara itu adalah interpretasi undang-undang dan tidak perlu menghina pemimpin terdahulu yang banyak berjasa kepada negara. 

Anwar berkata tumpuan kini adalah menyelesaikan tuntutan itu secara profesional menerusi kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan, bukannya membangkitkan sentimen atau mempolitikkan kesilapan lampau.

Semalam, Wakil Menteri Kabinet Persekutuan dari Sabah bagi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63) Datuk Armizan Mohd Ali berkata perbincangan pertama mengenai isu Pemberian Khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil akan diadakan Isnin ini di Menara Kinabalu.

Ditanya mengenai isu bekalan air di Sabah, Perdana Menteri menzahirkan keyakinan bahawa isu tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya tahun hadapan, selain memastikan semua projek utiliti asas di negeri itu disiapkan tanpa sebarang kelewatan.

Beliau berkata masalah air yang berlarutan sejak puluhan tahun di Sabah kini berada dalam proses penyelesaian menyeluruh selepas kerajaan meluluskan sejumlah peruntukan besar bagi menaik taraf prasarana berkaitan di negeri itu.

Katanya kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM360 juta khusus untuk projek air di Sabah, selain RM1.2 bilion untuk keperluan elektrik, selaras usaha memastikan penduduk negeri itu menikmati kemudahan asas yang setara dengan negeri-negeri lain.

“Macam air ini daripada laporan terakhir, insya-Allah 2026, tahun depan selesai semua (isu) air di Sabah atau mungkin sebahagiannya,” katanya. 

Anwar turut menyeru golongan muda supaya menggunakan hak mereka dengan penuh tanggungjawab, termasuk memilih pemimpin berasaskan integriti dan keupayaan, bukan sentimen perkauman atau kenegerian.

Beliau menegaskan bahawa masa depan negara bergantung kepada kebijaksanaan generasi muda menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat.

“Jangan pilih kerana warna kulit atau kerana negeri. Pilih yang betul-betul mahu membela rakyat,” katanya sambil mengingatkan bahawa Malaysia tidak akan aman jika setiap pihak hanya mementingkan kaum atau kelompok sendiri.

-- BERNAMA
 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan