WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AWALAN TERUS TERAJU PLBM SEHINGGA 2027

15/11/2025 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Datuk Awalan Abdul Aziz akan terus menerajui Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) untuk tempoh dua tahun lagi selepas beliau menang tanpa bertanding jawatan presiden bagi penggal 2025-2027.

PLBM dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26 persekutuan berkenaan yang berlangsung di Pusat Boling Padang Kebangsaan di Bukit Kiara di sini hari ini.

Ini adalah penggal ketiga Awalan sebagai presiden PLBM sejak beliau pertama kali memegang jawatan itu pada 2021-2023 dan meneruskan peranan itu bagi penggal kedua 2023-2025.

“Di bawah kepimpinan dinamik Datuk Awalan, sukan boling padang telah berkembang ke tahap yang membanggakan dengan pencapaian cemerlang. Tidak dapat dinafikan kepimpinan Datuk Awalan memainkan peranan penting dalam kejayaan kukuh sukan ini di peringkat global,” menurut kenyataan itu.

Antara pencapaian terbaik Malaysia di bawah Awalan termasuk muncul juara keseluruhan Piala Dunia 2025 yang baru berakhir di sini dengan meraih satu pingat emas dan tiga gangsa, menewaskan kuasa besar seperti Australia, England, New Zealand, Scotland dan Wales.

Sementara itu, dua jawatan tertinggi lain iaitu timbalan presiden dan naib presiden turut kekal apabila penyandang menang tanpa bertanding.

Tengku Datin Seri Noor Hazah Tengku Abdul Aziz dan Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak mengekalkan jawatan sebagai timbalan presiden, manakala Rustam Affandi Maktar dan Shuib Hashim kekal sebagai naib presiden.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan