BONGAWAN, 15 Nov (Bernama) -- Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berdepan pertembungan sembilan penjuru bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ahli Parlimen Kimanis itu yang mewakili Barisan Nasional (BN) akan berdepan penyandang Dr Daud Yusof (Warisan), veteran politik Sabah Tan Sri Anifah Aman mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ridzuan Agus Payong (Perikatan Nasional-PN), Hussin Dasar @ Esah daripada Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Peter Matinjal.
Tiga lagi calon yang turut bertanding ialah Dolores Micheal daripada Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (STAR), Royston Adven (Parti Impian Sabah-PIS) dan seorang calon Bebas, Md Harris Md Tahir.
Pengumuman di pusat penamaan calon Dewan Kesenian Islam Membakut dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Suzlan Suhaili.
"Saya telah menerima sembilan kertas pencalonan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas yang diterima," kata Suzlan.
Pada PRN lepas, Dr Daud menang kerusi DUN Bongawan dengan majoriti 1,802 undi.
Satu lagi kerusi yang turut diumumkan di lokasi sama ialah DUN Membakut yang menyaksikan pertembungan 10 penjuru.
GRS meletakkan harapan kepada penyandang kerusi, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif manakala BN akan diwakili Rusman Dulamit.
Lapan lagi calon ialah Mohamad Said @ Ismail Sait (Warisan), Aziz Angkiu @ Jaafar (PPRS), Adrian Lajim (STAR), Kamal Idris (PIS), Rowindy Lawrence Odong mewakili Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Yahya Ahmad mewakili Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri), Suliaman Alladad daripada Parti Kebangsaan Sabah (PKS) dan seorang calon Bebas, Haslan Wasli.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dan tarikh pengundian awal 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial