WILAYAH - SABAH > BERITA

WARGA PERTAHANAN PERLU KEKAL FOKUS, JANGAN TERPENGARUH SUASANA POLITIK - MOHAMED KHALED

15/11/2025 06:55 PM

KOTA BELUD, 15 Nov (Bernama) -- Warga pertahanan diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan suasana politik semasa sebaliknya kekal fokus kepada tanggungjawab utama menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata anggota tentera perlu sentiasa memahami peranan mereka bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara, walaupun berdepan suasana politik yang dinamik, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Sebab itulah kita harap supaya warga pertahanan tidak melalui dan terpengaruh dengan keadaan sedemikian, mesti jelas bahawa tanggungjawab dan peranannya adalah untuk menjaga keselamatan negara,” katanya ketika ditemui pada Program Hari Keluarga Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kompleks Sukan Kota Belud di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Medan Timur Tentera Darat Lt Jen Datuk Mohd Sofi Md Lepi.

Mohamed Khaled berkata semangat perpaduan antara anggota tentera, keluarga serta masyarakat setempat amat penting bagi memastikan ATM terus kuat dan bersatu dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan negara.

Beliau turut menekankan bahawa keselamatan Sabah menjadi tanggungjawab bersama semua anggota tentera tanpa mengira negeri asal mereka.

"Sama ada jaga perairan di Sabah, pulau, pantai, kampung dan sebagainya tanpa melihat kepada asal-usul tapi semuanya komited dan sangat setia menjaga keselamatan Sabah. Keselamatan Sabah akan menyumbang kepada keselamatan negara,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah manakala undi awal pada 25 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan