KANGAR, 15 Nov (Bernama) -- Program Sarjana Muamalat dan Kewangan Islam serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal antara program baharu ditawarkan di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) pada Februari tahun depan.
Naib Canselor UniSIRAJ Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata pada masa ini pihak universiti masih menunggu kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menawarkan program berkenaan.
“Program hadis yang menjadi antara kebitaraan (niche) universiti yang menunjukkan permintaan tinggi dan sedang dikaji bagi pembukaan laluan baharu di peringkat diploma, sarjana dan doktor falsafah,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Konvokesyen Kali Ke-8 UniSIRAJ di sini hari ini.
Turut berangkat pada istiadat konvokesyen sehari itu Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniSIRAJ Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Sebanyak 361 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing sekali gus menjadi kumpulan pertama bergraduasi di bawah nama UniSIRAJ selepas pemasyhuran universiti itu disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Khamis lepas.
UniSIRAJ dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) sebelum dinaik taraf menjadi universiti dengan Bernama pada 23 Nov 2024 melaporkan Raja Muda Perlis yang juga Canselor KUIPs bertitah Jabatan Pendidikan Tinggi melalui surat bertarikh 15 Nov tahun sama telah meluluskan pendaftaran KUIPs untuk dinaik taraf sebagai universiti.
Sementara itu, Muhamad Rozaime berkata kadar kebolehpasaran graduan UniSIRAJ mencapai 94.1 peratus pada tahun lepas, sekali gus membuktikan graduan UniSIRAJ diterima baik dalam pasaran kerja dan mempunyai kemahiran serta kompetensi diperlukan.
“Universiti kini bergerak ke arah pembangunan kampus kekal di Sungai Chuchuh (di Padang Besar) dengan usaha awal pengambilan tanah sedang dilakukan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
“Perancangan awal adalah membangunkan kampus dengan kapasiti hingga 4,800 pelajar. Namun ia bergantung kepada keputusan MAIPs sebagai agensi induk, dan kita dijangka berpindah ke bangunan MAIPs di Pauh (Arau) pada hujung tahun depan sebagai lokasi sementara sebelum kampus tetap dimuktamadkan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial