WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JANGAN GUNA KANAK-KANAK DALAM KANDUNGAN POLITIK - NANCY SHUKRI

16/11/2025 02:53 PM

KUCHING, Nov 16 (Bernama) -- Kanak-kanak tidak seharusnya dijadikan bahan kandungan politik termasuk pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang sedang berlangsung ketika ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata faktor paling penting adalah peranan ibu bapa dalam memastikan anak-anak tidak terdedah kepada aktiviti yang boleh memberi kesan negatif terhadap masa depan mereka.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berulang kali mengingatkan semua pihak agar tidak mengeksploitasi golongan itu dalam apa jua bentuk kandungan digital.

“Jika ibu bapa sendiri tidak membenarkan, eksploitasi tidak akan berlaku. Anak-anak sepatutnya diberikan didikan positif, bukannya digunakan untuk mengkritik atau mengutuk mana-mana parti politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Latihan Kesaksamaan Ketidakupayaan (DET) dan Perkhidmatan Job Coach di sini hari ini.

Sementara itu, Nancy berkata kerajaan melalui pelbagai agensi terus memperkukuh program pendidikan dan advokasi kanak-kanak.

Beliau berkata Program Kasih Kanak-Kanak setakat ini telah dilaksanakan di 337 sekolah dengan penyertaan 128,148 pelajar, melepasi sasaran awal sebanyak 300 sekolah.

“Selain itu, program melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut menekankan pendidikan kesihatan reproduktif dan pembangunan pekerti bagi membantu pelajar memahami tanggungjawab sosial serta membuat keputusan yang lebih bijak.

“Semua ini perlu difahami supaya mereka (pelajar) tidak melakukan tindakan tidak bertanggungjawab seperti membuang bayi. Kita mahu mereka bertanggungjawab dan ibu bapa juga perlu memahami program ini,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan