WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENDUDUK, PENIAGA HARAP KEMUDAHAN DAN KEBERSIHAN DI DUN API-API TERUS DIPERTINGKAT

16/11/2025 03:00 PM

Oleh MOHD KHAIRI IDHAM AMRAN

KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Penduduk dan peniaga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api berharap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus mempertingkatkan usaha menjaga kebersihan, menambah kemudahan awam dan mengatasi isu tempat letak kereta bagi keselesaan pengguna serta pelancong.

Penjawat awam Ain Umairah Shariff Muhamad, 28, berkata antara isu utama yang perlu diberi perhatian ialah kemudahan pembuangan sampah awam.

“Bagi saya, perkara itu ada kurang sikit. Orang susah mahu cari tong sampah di sini dan jika ada pun mungkin jauh,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata masalah parkir berlapis juga sering berlaku di kawasan tumpuan sekitar Api-Api akibat kemudahan tempat letak kereta yang terhad, namun berpendapat perkara itu berpunca daripada sikap pengguna sendiri.

Sementara itu, pekerja pembersihan pejabat Nurhayatie Abdullah, 55, turut berharap pihak berkuasa memberi perhatian kepada masalah parkir, selain sistem perparitan.

“Kalau ada banjir sekejap mesti banjir punya. Rasanya memang ada sudah (tindakan), tapi mungkin lambat sikit. Harap nanti siapa-siapalah yang berkenaan supaya sentiasa beri perhatian macam parit, parkir semua, harap sentiasa dipantau untuk kesenangan semua pengguna,” katanya.

Peniaga madu dan produk kesihatan tradisional di Pasar Besar Kota Kinabalu Ana Delisa, 25, pula memuji peranan DBKK yang sentiasa memastikan kebersihan di kawasan pasar terpelihara.

“Pukul 8 pagi lagi DBKK sudah mulakan operasi, hari-hari kecuali Ahad sahajalah cuti,” katanya sambil menambah bahawa semua peniaga di pasar mempunyai lesen dan menjalankan perniagaan secara sah.

Bagi peniaga muda, Alsaisal Alhud, 23, yang membantu menguruskan gerai makanan ringan di pasar berkenaan, keadaan keselamatan dan kebersihan premis di bawah seliaan DBKK itu boleh dianggap memuaskan.

“Kalau dari segi penambahbaikan mungkin dari segi kemudahan di bahagian luar, kalau bahagian dalam (pasar) memang sudah okey. Kalau di bahagian luar, lebih kepada kawasan letak kereta, kalau boleh kita tambah,” katanya.

Pelancong dari Latvia, Sergejs Kotovs, 48, turut berkongsi pandangan bahawa kemudahan awam di bandar raya ini boleh dipertingkatkan bagi memberi pengalaman lebih baik kepada pelawat terutama dalam perkara yang membabitkan kebersihan.

“Sesetengah tempat tidak mempunyai air yang mencukupi manakala ada tandas yang pada saya tidak begitu bersih,” katanya.

Beliau yang menginap di Kota Kinabalu selama tiga hari tetap merasakan bandar raya ini selamat dan selesa kepada pelancong.

Kawasan DUN Api-Api menempatkan sebahagian besar pusat perniagaan dan tarikan pelancong utama di bandar raya ini, termasuk Pasar Besar Kota Kinabalu dan kawasan tumpuan pelancong di pusat bandar, menjadikan aspek kebersihan, keselamatan dan kemudahan awam antara tumpuan utama.

Keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-16 menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR Datuk Seri Christina Liew memenangi persaingan sembilan penjuru dengan majoriti 5,347 undi selepas meraih 7,796 undi menewaskan pencabar terdekat, Datuk Seri Yee Moh Chai daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) yang meraih 2,449 undi.

Pada PRN ke-17, PH meletakkan calon Thonny Chee bagi DUN Api-Api yang mengikut rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai 17,782 pengundi setakat Oktober lepas.

SPR menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan 25 Nov bagi pengundian awal. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

 

 

          N20: API-API: SABAH: 17,782
 
1. Ng Chun Sua (PIS)
2. Ting Shu Kiong
(STARSABAH)
3. Soh Kee Suat @ So Chee Say (PBK)
4. Loi Kok Liang (Warisan)
5. Thonny Chee (PH-PKR)
 
(2020: Christina Liew Chin Jin: Warisan Plus-PKR: Maj: 5,347)
 
 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan