WILAYAH - SELATAN > BERITA

UITM DAN YTM LANCAR REACH 2.0, TINGKAT SOSIOEKONOMI KOMUNITI LUAR BANDAR

16/11/2025 07:08 PM

KUALA PILAH, 16 Nov (Bernama) -- Program Rural Empowerment and Community Help 2.0 (REaCH 2.0), hasil kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Yayasan Telekom Malaysia (YTM), menyediakan platform inovatif serta latihan bersepadu untuk meningkatkan sosioekonomi komuniti luar bandar melalui pendidikan, teknologi hijau, dan pembangunan mampan.

Ketua Projek REaCH 2.0, Profesor Madya Dr. Nur Kamaliah Mustaffa berkata program ini menggabungkan kepakaran akademik, sokongan industri, dan penglibatan komuniti setempat bagi memperkukuh ekonomi, sosial, serta kemahiran keusahawanan masyarakat desa.

Beliau berkata usaha itu merupakan kesinambungan program REaCH 1.0 yang diadakan di Kuala Terengganu tahun lepas, dengan pelbagai latihan dan projek komuniti yang dirangka selaras 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

"Penganjuran festival itu bukan sahaja mengetengahkan warisan budaya tempatan, tetapi menjadi platform inklusif yang merapatkan hubungan antara universiti, industri, agensi kerajaan, sekolah dan komuniti dalam semangat perkongsian ilmu serta kelestarian komuniti.

"REaCH 2.0 menjadi wadah penting bagi Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM dengan kerjasama YTM dalam usaha memperkasa ilmu,  ekonomi dan komuniti. Kali ini kami memilih Kampung Juasseh Tengah dan Kampung Pasir Ambor, Kuala Pilah sebagai komuniti luar bandar bagi pelaksanaan program tersebut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim merasmikan Festival Perpatih REaCH 2.0 anjuran Falkulti Kejuruteraan Awam UiTM dengan kerjasama YTM di Sekolah Kebangsaan Pasir Ambor di sini.

Turut hadir Pengarah Yayasan TM Ainol Shaharina Sahar dan Penyelaras UiTM Prof Madya Ts Dr Nur Kamaliah Mustaffa.

Ainol Shaharina berkata Yayasan TM komited memperkukuhkan pembangunan masyarakat melalui pendidikan, teknologi dan amalan lestari dalam membantu meningkatkan potensi komuniti luar bandar.

Beliau berkata projek utama diserahkan kepada komuniti antaranya Kebun Komuniti Eco SmartShroom, Sistem Solar, Smart Classroom, Sistem Pengurusan Air Hujan (SPAH), Stesen 3R dan E-Learn Lounge, yang memperkenalkan teknologi hijau dalam kehidupan harian penduduk.

"Menerusi program ini, YTM turut menyampaikan dana keusahawanan berjumlah keseluruhan RM60,000 kepada 20 usahawan tempatan bagi mengukuhkan sokongan terhadap pembangunan perniagaan mikro dan perusahaan sosial," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata kejayaan REaCH 2.0 membuktikan usaha sama antara sektor awam, akademi dan industri mampu memberi impak signifikan kepada masyarakat dan usaha ini perlu diperluas ke kampung lain bagi memastikan tiada golongan terpinggir daripada arus pembangunan.

"Saya percaya pendidikan dan pemerkasaan ilmu bukan sahaja terhad di sekolah atau dewan kuliah, tetapi boleh dicapai melalui penglibatan aktif pelajar dalam komuniti, seperti yang ditunjukkan oleh program ini," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan