GEORGE TOWN, 17 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang mengadakan perbincangan dengan agensi keselamatan bagi meneliti beberapa perkara penting berkaitan keselamatan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.
Menerusi hantaran di Facebook PDRM Pulau Pinang, Ketua Polis negeri Datuk Azizee Ismail telah mempengerusikan Mesyuarat Projek LRT Laluan Mutiara di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Mesyuarat penyelarasan awal itu diadakan bagi membincangkan aspek keselamatan, pengurusan operasi serta pelaksanaan projek infrastruktur mega pertama di utara tanah air.
“Mesyuarat itu turut meneliti beberapa perkara penting berkaitan keselamatan projek dan pihaknya merakamkan penghargaan atas pembentangan awal oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) serta menegaskan keperluan penyelarasan rapi agar operasi keselamatan tidak terjejas.
“PDRM meminta agar dimaklumkan lebih awal mengenai sebarang aktiviti pembinaan berhampiran kawasan strategik dan perubahan garis masa projek yang mungkin memberikan implikasi terhadap keselamatan,” menurut hantaran itu.
Penilaian risiko terhadap jajaran LRT, khususnya berhampiran premis penting seperti ibu pejabat polis daerah, balai polis, kuarters dan stor logistik turut diberikan keutamaan bagi memastikan perimeter keselamatan tidak terjejas.
PDRM juga memohon penjelasan lanjut mengenai pelan struktur jejambat termasuk ketinggian, jarak dari premis PDRM serta implikasinya terhadap garis pandang, privasi operasi dan akses keluar masuk kenderaan peronda.
“Aspek susun atur premis PDRM turut dibincangkan termasuk keperluan menilai semula keselamatan kawasan sensitif seperti bilik tahanan dan stor senjata, penyediaan laluan kecemasan alternatif serta memastikan kelancaran pergerakan kenderaan peronda sepanjang tempoh pembinaan.
“Bagi memperkukuh koordinasi, PDRM turut mencadangkan penubuhan pegawai perhubungan khas dan saluran komunikasi 24/7 bagi menangani isu kecemasan dan perkara berkaitan pembinaan,” menurut hantaran itu.
PDRM merakamkan penghargaan kepada semua agensi termasuk Bukit Aman, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta MRT Corp yang terlibat atas komitmen kepada keselamatan awam dan PDRM bersedia sepenuhnya untuk bekerjasama bagi memastikan projek strategik itu dapat direalisasikan tanpa menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negeri.
Projek LRT Laluan Mutiara ialah jajaran sepanjang 29.5 kilometer yang menghubungkan 21 stesen dan lengkap dengan kemudahan parkir, bas pengantara dan dua depot utama di kawasan pulau.
Laluan itu melalui beberapa kawasan strategik termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Zon Perindustrian Bebas (FIZ), pusat bandar George Town dan Penang Sentral serta beberapa balai polis termasuk Balai Polis Jalan Tengah, Balai Polis Bayan Baru, Balai Polis Sungai Nibong dan Balai Polis Jelutong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial