WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANWAR LAKUKAN LAWATAN BERSEJARAH KE ETHIOPIA, PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN KESATUAN AFRIKA

17/11/2025 11:51 PM

Oleh M. Saraswathi

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan bersejarah ke Ethiopia ketika Malaysia berusaha untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan benua Afrika melalui ibu pejabat Kesatuan Afrika di ibu kota negara itu, Addis Ababa.

Kesatuan Afrika yang ditubuhkan pada Julai 2002 dan dianggotai 55 negara merupakan suara perwakilan benua itu di pentas global dengan fungsi antara lainnya untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa.

Lawatan Anwar bermula 18 November ke negara yang mendapat jolokan "Horn of Africa" itu merupakan julung kali bagi Perdana Menteri Malaysia selain merupakan lawatan balas susulan kunjungan rasmi Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali ke Malaysia pada Oktober tahun lepas.

“Lawatan itu bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik yang terjalin sejak Januari 1965, dan dijangka dapat membuka ruang bagi meraih peluang dan kerjasama dalam pelbagai sektor antara Malaysia dan Ethiopia,” kata Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar menerusi taklimat yang diadakan secara maya, hari ini, dari Addis Ababa.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, pegawai kanan kerajaan yang lain serta delegasi perniagaan.

Lawatan itu juga bersempena dengan pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada 23 September 2025, sekaligus menekankan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Ethiopia. 

Beliau berkata ia juga menjadi pemangkin untuk meneroka peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang kepentingan bersama, terutamanya dalam perdagangan, pelaburan dan hubungan antara rakyat.

Pembukaan semula Kedutaan Malaysia di Addis Ababa, serta dengan adanya ibu pejabat Kesatuan Afrika, juga akan menyediakan peluang kepada negara untuk memperkukuh hubungannya dengan Kesatuan Afrika.

Di Addis Ababa, Anwar akan diberi sambutan rasmi di Istana Negara yang dihadiri Dr Abiy Ahmed, dan kemudiannya kedua-dua pemimpin akan mengadakan pertemuan dua hala.

Mohd Afandi berkata kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu kepentingan bersama seperti meningkatkan hubungan dua hala serta memupuk hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh.

"Mereka juga dijangka membincangkan pengukuhan kerjasama dalam bidang seperti pertanian, komoditi, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pergerakan sesama rakyat," katanya.

Sejumlah besar perjanjian serta memorandum persefahaman (MoU) juga dijangka dimeterai antara kedua-dua negara termasuk MoU dalam kerjasama kesihatan, perjanjian perkhidmatan udara dan pelancongan. 

Perjanjian lain termasuk dokumen kolaborasi antara Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur dan Pentadbiran Bandaraya Addis Ababa, yang akan menyelaraskan mekanisme untuk dialog strategik bagi menyediakan ruang kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara. 

Anwar juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Ethiopia Taye Atske Selassie dan bertemu dengan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Mahmoud Ali Youssouf, yang berasal dari Djibouti.

Perdana Menteri juga dijadualkan menyampaikan syarahan khas bertemakan ‘Menghubungkan Peradaban, Membina Masa Hadapan: Memperkukuh Kerjasama Afro-Malaysia demi Kemakmuran Bersama’ kepada Kesatuan Belia Pan-Afrika dan Majlis Belia Ethiopia.

Ethiopia, negara dilingkungi daratan yang paling ramai penduduknya di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia bernilai RM446.8 juta, dengan eksport dari Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, peningkatan 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Eksport Malaysia ke Ethiopia terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, kimia dan produk kimia serta tekstil, pakaian dan kasut.

Pada 2023, imbangan perdagangan memihak kepada Malaysia.

Ethiopia merupakan persinggahan pertama dalam rangka lawatan Anwar ke Afrika.

Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi lawatan kerja bermula 20 hingga 23 November untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20.

Kemudiannya beliau akan meneruskan rangka lawatan ke Nairobi, Kenya, dari 23 hingga 24 November, sebelum pulang ke tanah air.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan