WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA PERLU GUNA PAKAI DAN LAKSANAKAN AI BAGI JAMIN MASA DEPAN DIGITAL NEGARA - GOBIND

18/11/2025 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Malaysia perlu menghentikan perdebatan mengenai pilihan antara “mengguna pakai atau melaksanakan” kecerdasan buatan (AI), sebaliknya perlu menumpukan kepada kedua-dua aspek itu dengan berkesan bagi menjamin masa depan digital negara, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Berucap pada Persidangan Antarabangsa SIRIM mengenai Kualiti dan Inovasi 2025 di sini hari ini, beliau berkata penerimagunaan dan pelaksanaan merupakan dua elemen saling melengkapi yang memacu inovasi dan pada masa sama memastikan kepercayaan.

Gobind berkata penggunaan AI semakin berkembang pesat di seluruh dunia tetapi banyak organisasi masih berdepan kesukaran untuk memperluas penggunaannya.

Memetik tinjauan global oleh McKinsey, beliau berkata hampir sembilan daripada 10 organisasi menggunakan AI, sekurang-kurangnya dalam satu fungsi tetapi masih belum mengintegrasikan teknologi berkenaan sepenuhnya dalam operasi mereka.

Gobind berkata Malaysia telah mula menikmati manfaat daripada penggunaan AI pada peringkat awal, dengan AWS melaporkan kira-kira 2.4 juta perniagaan tempatan, iaitu kira-kira 27 peratus daripada perusahaan telah mula menggunakan AI.

“Dalam penjagaan kesihatan, AI membantu doktor mengesan penyakit lebih awal dan menambah baik hasil rawatan pesakit.

“Dalam pertanian pula, ia memberi panduan dalam pertanian tepat dan mengoptimumkan hasil. Bagi logistik dan pembuatan, analisis ramalan mengurangkan masa henti, mengurangkan pembaziran dan meningkatkan produktiviti,” katanya.

Gobind berkata walaupun dalam lingkungan ekosistem piawaian dan kualiti, AI mengautomasikan pemeriksaan dan pensijilan, meningkatkan konsistensi dalam ujian serta mengenal pasti kelemahan yang mungkin terlepas daripada pemerhatian manusia.

Beliau berkata kerajaan juga melihat hasil positif daripada projek perintis sektor awam, yang menggunakan alatan AI untuk meningkatkan produktiviti.

“Pada tahun lepas, Kementerian Digital melaksanakan projek perintis melibatkan 270 pegawai untuk menguji bagaimana AI boleh menambah baik tugasan harian.

“Hari ini, projek perintis itu telah berkembang kepada pelaksanaan di seluruh negara melibatkan 445,000 pegawai, membawa kita daripada pembuktian konsep kepada amalan,” kata Gobind.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Malaysia perlu menyesuaikan sistem, institusi dan tenaga kerjanya dengan perubahan mendalam yang dibawakan AI.

“Apabila AI semakin sebati dalam sistem dan proses membuat keputusan kita, bagaimana untuk kita memastikan apa-apa yang cekap juga kekal beretika? Bagaimana kita mengimbangi automasi dengan pengawasan manusia, inovasi dengan keterangkuman, kelajuan dengan keselamatan?” kata beliau.

Gobind berkata Malaysia sedang bersedia untuk menghadapi cabaran ini melalui tiga bidang utama iaitu infrastruktur, kepercayaan digital dan bakat.

Menurutnya kerajaan sedang memperkukuh asas data, kesalinghubungan dan pengkomputeran yang diperlukan untuk menyokong sistem AI masa depan serta inovator tempatan.

Gobind turut menekankan mengenai usaha berterusan untuk memperkukuh kepercayaan digital termasuk Akta Keselamatan Siber 2024, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan pembangunan Pelan Tindakan AI Kebangsaan (2026-2030) oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO).

“Sebagai pelengkap, terdapat Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026-2030. Strategi ini sama pentingnya, memastikan kemajuan Malaysia dalam AI disokong oleh tadbir urus yang kukuh dan integriti ekosistem digital kita,” katanya.

NAIO juga sedang berusaha untuk menjajarkan Malaysia dengan piawaian AI antarabangsa termasuk menyesuaikan piawaian ISO utama dengan konteks tempatan berkaitan pengurusan AI, tadbir urus risiko dan amalan kitar hayat.

Mengenai kesediaan bakat, Gobind berkata kajian yang ditugaskan oleh TalentCorp mendapati bahawa 620,000 pekerjaan meliputi 10 sektor kritikal dijangka banyak terjejas dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Dalam menghadapi perubahan ini, kerajaan telah menubuhkan Majlis AI Kebangsaan MyMahir untuk Industri, platform yang menyelaras pembangunan bakat AI, strategi penerimagunaan dan kerjasama rentas sektor antara kerajaan, ahli akademik dan industri,” katanya.

Gobind berkata usaha ini disokong oleh perkongsian global yang bertujuan melatih ratusan ribu rakyat Malaysia dalam literasi dan kemahiran AI.

Beliau  berkata masa depan AI Malaysia bergantung kepada keupayaannya untuk memajukan inovasi sambil mengekalkan kepercayaan orang ramai.

“Penerimagunaan memacu kemajuan. Pelaksanaan menjamin kepercayaan. Kedua-duanya diperlukan untuk mewujudkan ekosistem AI yang berkembang dan memberi manfaat kepada semua,” kata Gobind.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan