GEORGE TOWN, 20 Nov (Bernama) -- Sebanyak 38 kes lubang benam dilaporkan di seluruh Pulau Pinang sejak 2023, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye.
Beliau berkata 10 kes dilaporkan pada 2023, lapan pada 2024, dan 20 kes pada tahun ini, dengan daerah Timur Laut mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 12 kes.
“Antara lokasi terlibat termasuk Jalan Perak, Jalan Sungai Pinang, Jalan Paya Terubong, Jalan Persekutuan FT006 Seksyen 10.20 dan 3.80, Jalan Free School, Jalan Tanjung Seksyen 66.70, Jalan Burma, Pengkalan Weld, Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Azad dan Jalan Sultan Azlan Shah Seksyen 11.9.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah memperuntukkan RM68,000 bagi kerja penyelidikan berhubung punca kejadian lubang benam di Jalan Jaya, Taman Cempaka, Seberang Perai Tengah pada tahun ini.
Beliau memaklumkan pada tahun lepas, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil inisiatif dengan membelanjakan RM98,000 bagi pembelian alat Radar Penembusan Tanah (GPR) untuk mengesan dan memeta sebarang objek di bawah lapisan permukaan jalan melalui kaedah geofizik.
"Penggunaan alat tersebut dapat membantu dalam pengesanan awal kejadian lubang benam," katanya bagi menjawab soalan Wong mengenai peruntukan dan perbelanjaan yang digunakan kerajaan negeri untuk menyelidik dan mengesan tempat berpotensi berlaku kejadian lubang benam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial