WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PINDAAN AKTA TINGKAT KEYAKINAN AWAM TERHADAP PEGUAM SABAH , SARAWAK

22/11/2025 12:55 AM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Cadangan meminda Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk membolehkan wakil dari Sabah dan Sarawak menjadi ahli Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) akan memastikan keyakinan orang ramai terhadap kecekapan dan kualiti peguam di kedua-dua negeri itu.

Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) Datuk Mohamed Nazim Maduarin dalam kenyataan berkata pindaan itu bakal mengukuhkan nilai keadilan dan akauntabiliti kepada sistem perundangan, memastikan keputusan kelayakan undang-undang dibuat dengan mengambil kira kepentingan kedua-dua negeri.

Beliau menyifatkan pindaan itu sebagai langkah yang sudah lama tertangguh yang memperakui bahawa keputusan dibuat oleh LPQB memberi kesan secara langsung kepada piawaian, integriti dan masa depan profesion guaman di Sabah dan Sarawak.

"Pembaharuan ini bukan untuk memberikan kelebihan kepada Sabah dan Sarawak. Ia adalah pembetulan terhadap ketidakseimbangan struktur yang tidak sepatutnya wujud dari awal. Meskipun LPQB tidak mentadbir keseluruhan profesion undang-undang di Malaysia, keputusannya mempunyai kesan langsung dan ketara kepada siapa yang layak untuk diterima di Sabah dan Sarawak.

"Oleh itu adalah tiada alasan lagi bahawa selama beberapa dekad, Lembaga boleh membuat keputusan yang membentuk kualiti dan komposisi Badan Peguam kami tanpa penyertaan bidang kuasa yang terjejas oleh keputusan tersebut," katanya.

Selama beberapa dekad, Mohamed Nazim berkata laluan memasuki Badan Peguam Sabah (Bar Sabah), sama ada menerusi Sijil Amalan Undang-Undang (CLP) atau menerusi ijazah undang-undang daripada universiti awam telah dibentuk sepenuhnya oleh lembaga yang tiada perwakilan Sabah atau Sarawak.

Beliau berkata akibatnya mereka terpaksa menerima, meminda atau menguatkuasakan laluan kelayakan tanpa sebarang peluang untuk meneliti atau mempengaruhi piawaian sebelumnya.

“Keputusan LPQB memberikan kesan bukan sahaja kepada mereka yang mungkin berkhidmat di Sabah tetapi juga kualiti dan kredibiliti mereka yang akhirnya akan berkhidmat kepada orang ramai sebagai peguam bela," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar pindaan itu diluluskan tanpa sebarang pengurangan dan pelantikan wakil Sabah dan Sarawak mesti dibuat secara bermakna oleh individu yang memahami realiti unik dan keperluan amalan undang-undang di kedua-dua negeri.

“Kami berharap dapat bekerjasama secara konstruktif dengan LPQB untuk mengukuhkan integriti laluan kelayakan, memastikan ketelusan dalam proses pengiktirafan dan menegakkan piawaian yang diperlukan untuk profesion undang-undang yang cekap dan beretika di Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan