WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM SIASAT ISU PEROLEHAN RM58.45 JUTA DI UKM

22/11/2025 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung isu tiga tender perolehan bernilai RM58.45 juta di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada Julai lepas.  

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus berkata proses siasatan merangkumi penelitian dokumen berkaitan dan lima individu telah dipanggil bagi membantu siasatan.

“Selain siasatan jenayah rasuah, SPRM turut membuka kertas penyiasatan tatakelola bagi meneliti aspek pengurusan dan kepatuhan tatakelola dalam perolehan berkenaan.  

“Isu ini turut mendapat perhatian apabila dibangkitkan dalam titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Majlis Pengisytiharan Pembukaan Konvokesyen ke-53 UKM di Bangi hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zainul juga berkata SPRM akan memberikan komitmen berterusan dalam memastikan integriti dan pengurusan tatakelola negara dilaksanakan dengan baik, selaras dengan usaha memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem perolehan awam.

Pada 21 Julai lepas, LKAN mendedahkan UKM berdepan isu ketakteraturan serius serta kelemahan dalam proses perolehan membabitkan tiga tender bernilai RM58.45 juta.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan