WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRN SABAH: PILIH PARTI BERDASARKAN PEMBANGUNAN REALISTIK, BUKAN SENTIMEN TEMPATAN

23/11/2025 12:12 PM

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Pengundi tidak sepatutnya memilih parti berdasarkan sentimen parti tempatan semata-mata, sebaliknya perlu mengundi berdasarkan tawaran pakej pembangunan yang realistik, bersifat penyelesaian dan inklusif pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Penyelidik Unit Kajian Pilihan Raya dan Geopolitik Borneo (GeoPES) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Haryati Abdul Karim berkata pengundi perlu bijak memilih dan bersikap pragmatik kerana sebelum ini mereka sudah merasai pentadbiran di bawah parti tempatan, parti nasional dan gandingan tempatan-nasional.

"Pengundi perlu memilih mana yang dapat menawarkan pakej realistik sehingga berjaya mengangkat Sabah menjadi sebuah negeri yang progresif dan makmur tanpa menjejas hubungannya dengan kerajaan Persekutuan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata rakyat ketika ini benar-benar memerlukan kepimpinan negeri yang mempunyai visi dan misi jelas mengenai hala tuju Sabah untuk membangunkan negeri berkenaan yang sememangnya berpotensi besar untuk menjadi negeri kaya dan maju.

"Oleh itu, naratif undi parti tempatan, tolak parti luar itu tidak begitu relevan, apatah lagi slogan Sabah for Sabahan buat rakyat Sabah pada masa ini," katanya yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS.

Haryati berkata persoalan sebenar yang menghantui rakyat Sabah ketika ini adalah masalah infrastruktur asas dan pembangunan lain yang menjejas kualiti hidup rakyat, justeru pilihan pengundi perlu terarah kepada parti yang dapat menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata dari segi sosioekonomi, kadar kemiskinan mutlak dan relatif di Sabah masih berada dalam angka dua digit, tahap pendapatan rakyat rendah selain peluang pekerjaan yang terhad masih membelenggu negeri itu.

Menelusuri sejarah lampau politik Sabah, Haryati berkata soal parti tempatan menerajui kerajaan negeri bukanlah perkara baharu kerana Sabah pernah diperintah oleh parti tempatan daripada USNO, Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) namun masalah sosioekonomi berkenaan belum selesai.

Hanya pada 1990, katanya barulah UMNO dibawa masuk ke Sabah seterusnya menjadi parti dominan dalam Barisan Nasional (BN) dan kerajaan Sabah sebelum kerajaan beralih kepada pimpinan gabungan parti tempatan dan nasional.

"Naratif-naratif undi parti tempatan turut menunjukkan seolah-olah Sabah tidak pernah dipimpin oleh parti-parti tempatan walhal itu tidak benar," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah) Prof Madya Datuk Dr Ramzah Dambul pula berkata kempen mengundi parti tempatan dan mengutamakan hak tempatan walaupun dilihat agak mirip, sebenarnya berbeza sama sekali.

Beliau berpendapat naratif mengundi parti tempatan adalah percaturan politik yang dimainkan parti bagi meraih sokongan demi kuasa, sebaliknya mengutamakan hak tempatan Sabah lebih kepada menjaga rakyat serta kepentingan negeri.

“Laungkan Sabah untuk orang Sabah macam mana pun, kita kena terima hakikat bahawa jajaran, kerjasama dengan Persekutuan itu masih lagi satu ciri yang sangat penting kalau kita mahu membangun. Jadi di mana relevannya laungan pilih parti tempatan semata-mata.

“Sebaliknya perlu dipilih parti tempatan yang mampu membawa pembangunan dan kemajuan ekonomi melalui kerjasama dengan kerajaan Persekutuan, pada masa sama mengutamakan hak tempatan Sabah," katanya.

Ramzah berkata perkara yang perlu diberi perhatian adalah memilih pemimpin dan kerajaan negeri yang mampu membuat rundingan secara berkesan dan tegas dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperoleh sumber untuk membangunkan negeri.

"Ia adalah tentang ketegasan kita untuk buat rundingan. Kita mesti tahu apa di hadapan kita. Kalau kita ada kepimpinan ekonomi yang sangat kukuh, barangkali cara kita berunding dengan Kerajaan Persekutuan mesti lebih berkesan," katanya.

Dalam konteks Perlembagaan Malaysia, Ramzah berkata Sabah mempunyai hak tertentu dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang perlu difahami dan diperjuangkan dengan cara yang betul.

Beliau menegaskan kepimpinan politik Sabah perlu melihat pembangunan daripada perspektif kebersamaan Malaysia, bukannya semata-mata berpolitik sentimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala 25 Nov bagi pengundian awal. 

Menurut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pemilih layak menunaikan tanggungjawab pada PRN kali ini, melibatkan 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis serta pasangan.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan