SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor hari ini melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025-2035 yang menjadi hala tuju komprehensif serta memacu pemerkasaan ekonomi kreatif melalui pendekatan strategik, inklusif dan bersepadu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan pelan itu mempersiapkan Selangor sebagai hab ekonomi kreatif serantau, berdaya saing pada peringkat global dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan untuk rakyat.
Beliau berkata tiga sektor utama pelan, iaitu digital dan multimedia, seni dan budaya serta warisan kebudayaan akan memastikan pertumbuhan industri selari dengan identiti budaya serta warisan negeri.
“Sektor digital dan multimedia antaranya meliputi filem dan televisyen, kandungan digital, periklanan, kandungan imersif (AR/VR), seni reka, animasi dan permainan digital.
“Sektor seni dan budaya meliputi seni kraf, penulisan kreatif, seni visual, fesyen dan tekstil, muzik, seni masakan dan persembahan manakala warisan kebudayaan melibatkan muzium, arkib serta pemulihan dan pemuliharaan bahan warisan,” katanya
Amirudin berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran pelan itu Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata beberapa aspek lain seperti pasaran, polisi atau undang-undang yang boleh diperkemas juga dikenal pasti dalam usaha memastikan industri kreatif berkembang lebih mantap dan kukuh serta mampu menjana pendapatan sehingga lebih RM20 bilion menjelang 2035.
Sementara itu Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata pelaksanaan pelan itu dipacu beberapa pemboleh daya strategik termasuk inkubator perusahaan kreatif, penyediaan studio dan hab kreatif, perluasan akses pasaran serta peluang eksport.
Beliau berkata ia juga melibatkan latihan dan peningkatan kemahiran, penggunaan teknologi digital dan pendanaan melalui geran, insentif dan modal teroka kreatif.
Mohd Najwan berkata antara tonggak pelaksanaan pelan ialah penubuhan Hab Kemajuan Ekonomi Kreatif Selangor (SEL-CREATE), iaitu hab ekonomi kreatif di setiap daerah yang akan dikenal pasti dengan pejabat daerah.
Hab itu akan menyediakan ruang acara, ruang kerja bersama-sama, kemudahan perniagaan, peluang pemasaran, program latihan serta peningkatan kemahiran serta sokongan perundangan, kewangan dan teknologi.
“Hab ini akan menjadi nadi perkembangan industri kreatif. Pada masa sama saya mengharapkan kerjasama pihak berkuasa tempatan, badan korporat dan swasta serta anak syarikat negeri untuk menjayakan agenda ini,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan negeri memperuntuk RM1 juta bagi meneruskan Ekspo Ekonomi Kreatif dan membangunkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif meliputi seni, budaya, reka bentuk serta e-sukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial