WILAYAH - SELATAN > BERITA

JOHOR GUNA ALAT PENGESAN LOGAM DI 372 PUSAT SPM

25/11/2025 11:44 AM

JOHOR BAHRU, 25 Nov (Bernama) -- Johor melaksanakan penggunaan alat pengesan logam di 372 pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini, bagi memperkukuh integriti, keselamatan dan kelancaran proses peperiksaan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata langkah itu dilaksanakan bagi memastikan tiada calon membawa peranti atau barangan dilarang ke dalam dewan peperiksaan selaras dengan perkembangan teknologi yang membolehkan rakaman atau komunikasi secara tersembunyi.

“Semua pusat-pusat peperiksaan ada alat ini untuk disaring kerana tujuannya untuk mengenal pasti barang-barang yang dilarang supaya tidak dibawa ke pusat peperiksaan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan hari pertama SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail di sini hari ini.

Beliau berkata penggunaan alat pengesan logam itu membolehkan guru melakukan imbasan awal terhadap calon sebelum mereka memasuki dewan sekali gus meminimumkan risiko pelanggaran peraturan peperiksaan.

Semua sekolah yang menjadi pusat peperiksaan SPM telah dibekalkan satu unit alat pengesan logam oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor bagi memastikan pelaksanaan berjalan seragam di seluruh negeri.

Aznan berkata penggunaan alat itu berpotensi diperluas ke peringkat harian di sekolah dan perkara berkenaan akan dibincangkan lebih lanjut pada tahun hadapan.

Sementara itu, beliau memberikan jaminan bahawa kerajaan negeri dan JPN Johor telah menyediakan pelan kesiapsiagaan penuh bagi memastikan perjalanan peperiksaan SPM tidak terjejas sekiranya berlaku cuaca tidak menentu atau banjir di beberapa kawasan.

Sehingga kini, sebanyak 49,654 calon SPM di seluruh negeri, termasuk pelajar sekolah kerajaan, swasta, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan calon persendirian, menduduki peperiksaan dengan kesemua 372 pusat peperiksaan beroperasi seperti biasa tanpa gangguan banjir setakat ini.

Langkah penyelarasan awal turut dilaksanakan bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) termasuk penetapan sekolah yang mungkin berfungsi sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku banjir.

Aznan berkata pemantauan ditingkatkan, khususnya di daerah berisiko seperti Segamat dan beberapa lokasi ‘hotspot’ lain berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini, selain berharap keseluruhan peperiksaan hingga 23 Dis berlangsung tanpa sebarang gangguan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan