WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JPN TARIK BALIK RAYUAN, STATUS WARGANEGARA MOHD RAZWIL KEKAL

25/11/2025 01:01 PM

GEORGE TOWN, 25 Nov (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan agensi itu mengeluarkan sijil kelahiran baharu kepada seorang lelaki tanpa kewarganegaraan.

Peguam Datuk Habib Rahman Seeni Mohideen, yang mewakili Mohd Razwil Abdullah, 41, berkata perkara itu dimaklumkan kepada pihaknya pagi ini. 

Sehubungan itu, beliau berkata keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Quay Chew Soon pada 14 Nov 2024 adalah kekal. 

“Dengan keputusan itu, JPN perlu mengeluarkan sijil kelahiran baharu yang menyatakan Mohd Razwil adalah warganegara Malaysia,” katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi di sini.

Mohd Razwil memfailkan permohonan bagi memperoleh kewarganegaraan pada 8 April 2024 selepas berjaya menjejaki wanita yang menjumpainya ketika bayi iaitu Rohaida Abdul Rashid, yang juga saksi tunggal dalam kes itu.

Dalam penghakimannya, Quay memerintahkan JPN mengeluarkan sijil kelahiran baharu yang menyatakan Mohd Razwil sebagai warganegara Malaysia berdasarkan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut mengarahkan Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian, JPN, Ketua Pengarah JPN dan Kerajaan Malaysia untuk mengeluarkan kad pengenalan bertaraf warganegara Malaysia kepada Mohd Razwil.

JPN telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Sementara itu, Habib Rahman berkata anak guamnya dijumpai oleh Rohaida ketika masih bayi dalam keadaan dibalut dengan tuala putih dan masih bertali pusat berdekatan dengan tong sampah di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Mohd Razwil kemudian dijaga oleh wanita itu sehingga berumur empat tahun sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga berusia 15 tahun.

Sementara itu, Mohd Razwil yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara kerana menarik balik rayuan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan