WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JAWI RANCANG PERBANYAK KAFA DI SEKOLAH KEBANGSAAN TAHUN DEPAN - MOHD NA’IM

25/11/2025 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merancang untuk menambah jumlah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan (SK) melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) pada tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata penambahan bilangan KAFA di SK diyakini dapat mengurangkan keciciran kerana pelajar dapat mengikuti KAFA di sekolah yang sama tanpa perlu berpindah ke lokasi lain.

Beliau berkata sejak 2003 hingga 2025 sebanyak 44 KAFA ditubuhkan di SK melibatkan 16 di Putrajaya dan 28 di Kuala Lumpur, manakala 83 KAFA beroperasi di lokasi lain seperti masjid, surau, balai raya dan premis komuniti lain di Wilayah Persekutuan.

“Kementerian Pendidikan (KPM) dan JPWP pada dasarnya, tiada halangan untuk penubuhan KAFA di SK. Namun, beberapa faktor perlu diambil kira, iaitu mendapat persetujuan guru besar dan melihat kepada kesediaan sekolah untuk membuka KAFA di SK. 

“Justeru itu, pembukaan KAFA di SK sebelum ini adalah berdasarkan kepada permohonan daripada pihak SK sendiri. Pembukaan KAFA di SK boleh dibuat setelah mengambil kira jumlah guru yang dibekalkan oleh JAWI,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Na'im menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai rancangan kerajaan menangani isu keciciran pelajar Muslim mengikuti KAFA di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata setiap tahun JAWI sentiasa memohon pertambahan jawatan guru KAFA daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan keperluan tenaga pengajar mencukupi.

“Kerajaan akan terus meneliti keperluan pendidikan al-Quran dan Fardu Ain di kawasan berpenduduk padat dan memperluas penawaran KAFA secara berfasa, selain melaksanakan pemantauan kualiti pengajaran secara berterusan,” katanya.

Mengulas mengenai isu keciciran pelajar Muslim mengikuti KAFA, Mohd Na’im berkata beberapa faktor utama menyumbang kepada isu berkenaan termasuk kekangan lokasi dan capaian, khususnya di kawasan tiada sekolah agama berdekatan, pertindihan jadual dengan kelas tambahan atau aktiviti kokurikulum di SK.

“Sokongan ibu bapa yang masih kurang mantap kerana lebih menekankan aspek akademik semata-mata serta faktor sosioekonomi, termasuk keluarga kurang berkemampuan yang menilai kelangsungan hidup lebih penting daripada pendidikan, turut menyumbang kepada keciciran,” katanya.

Beliau menegaskan usaha mengatasi masalah itu perlu dilakukan secara menyeluruh melalui peningkatan kemudahan fizikal dan infrastruktur KAFA, penambahan peruntukan untuk tenaga pengajar dan bahan pembelajaran.

Selain itu, ia diperkukuh melalui kolaborasi antara pihak berkuasa agama negeri dan komuniti serta memperhebat kesedaran ibu bapa tentang kepentingan pembentukan asas akidah, ibadah dan akhlak anak-anak.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan