Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol
PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukkan hampir RM202.5 juta untuk Program Pengedaran Barang Perlu (PPB) di Sabah, bagi memastikan rakyat terus menikmati bekalan stabil dan harga berpatutan sepanjang tempoh Mei 2025 hingga April 2027.
Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, Pengarah KPDN Sabah Shahril Nizam Shahidin berkata peruntukan itu merangkumi RM40.8 juta bagi pengedaran barangan perlu, RM17.3 juta untuk gas petroleum cecair (LPG) dan RM144.4 juta bagi komponen Community Drumming.
Community Drumming ataupun KPDN komuniti drumming merujuk kepada mekanisme penghantaran barangan keperluan ke kawasan pedalaman.
“Keutamaan kami di Sabah ialah memastikan bekalan stabil dan harga dapat dinikmati secara saksama, termasuk mereka yang tinggal di kawasan paling jauh. Ini bukti kerajaan tidak berhenti bekerja untuk rakyat,” katanya.
Shahril Nizam berkata menerusi PPB, barangan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung gandum, LPG, petrol RON95 dan diesel, dihantar terus daripada pusat bekalan ke pusat jualan melalui syarikat pengangkutan yang dilantik kerajaan, sekali gus memastikan akses adil untuk semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata setakat ini, program dilaksanakan di 78 zon pengedaran, meliputi 228 kawasan dan melibatkan 59 pengangkut yang membekalkan barangan ke 600 pusat jualan di seluruh Sabah.
“Ini adalah antara usaha kerajaan bagi memastikan rakyat, termasuk mereka di kawasan pedalaman dan pulau kecil, terus memperoleh barangan keperluan pada harga terkawal,” katanya.
Selain PPB, Shahril Nizam berkata Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) turut dilaksanakan bagi memastikan harga barangan terpilih kekal rendah, dengan diskaun antara 10 hingga 30 peratus.
“PJRM memberi peluang vendor tempatan dan peruncit untuk turut serta, serta memudahkan rakyat membeli tanpa perlu menempuh jarak jauh. Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan,” katanya.
Shahril Nizam menegaskan bahawa melalui kombinasi PPB dan PJRM, kerajaan dapat merapatkan jurang harga antara kawasan bandar dan pedalaman, sekali gus memberikan impak langsung kepada kesejahteraan rakyat di Sabah.
“Kami mahu rakyat di kawasan pedalaman menikmati harga sama seperti di bandar. Oleh sebab itu, kos logistik sebahagian ditanggung kerajaan dan ini menjadi bukti keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Shahril Nizam menekankan bahawa KPDN terutamanya di Sabah, sentiasa melaksanakan langkah penguatkuasaan harga dan kawalan bekalan secara bersepadu bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga mendadak.
“Pegawai pemantau harga memantau 480 item harian, 186 mingguan dan 74 item bulanan. Semua tindakan merangkumi keseluruhan rantaian edar barangan, dari peringkat bekalan hingga runcit, bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan,” katanya.
Beliau berkata semua usaha itu selari dengan aspirasi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, yang mahu Sabah menjadi model pemantauan dan pengurusan kos sara hidup terbaik di negara ini.
“Menteri mahu Sabah menjadi contoh terbaik bagaimana kerajaan bekerja tanpa henti, memastikan rakyat mendapat manfaat secara langsung dan berterusan.
“Sabah diharap menjadi model keberkesanan kerajaan dalam mengurus kos sara hidup dan rakyat dapat menilai sendiri komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial